Perlis wujudkan pusat sehenti kumpul produk usahawan

Sidang DUN Perlis: Perlis wujudkan pusat sehenti kumpul produk usahawan tempatan

WAN BADARIAH WAN SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri bakal menubuhkan sebuah pusat sehenti dikenali sebagai Perlis Authentic Center bagi mengumpulkan barangan produk usahawan tempatan di negeri ini.

Antara barangan yang akan dikumpulkan adalah beridentitikan produk Perlis seperti kebaya Perlis, gendang hadrah, capal kulit, batik, ikan pekasam, belacan, kordial harumanis dan sebagainya di bawah satu bumbung.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, usaha yang dilaksanakan ini dijangka dapat menarik lebih ramai pengunjung untuk membeli-belah di Perlis.

“Pusat sehenti itu dijangka akan beroperasi di Bangunan Konkos, Kuala Perlis dan dapat membantu usahawan memasarkan produk-produk mereka,” katanya dalam Sidang DUN Perlis di sini hari ini.

Wan Badariah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan lisan dikemukakan oleh Gan Ay Ling (Indera Kayangan-PH) berhubung pembaharuan yang akan dilaksanakan kerajaan negeri dalam menarik lebih ramai pelancong untuk berbelanja di Padang Besar dan Kuala Perlis.

Mengulas lanjut, Wan Badariah berkata, Kuala Perlis dan Padang Besar merupakan salah satu medium pembangunan utama di Perlis khususnya dalam sektor pelancongan.

“Selaras dengan objektif Rancangan Struktur Negeri bagi mencapai Perlis Negeri Bandaraya, terdapat pelbagai projek dengan tujuan meningkatkan pendapatan negeri dan memberi limpahan buat penduduk tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Wan Badariah berkata, terdapat dua projek pembangunan sedang dilaksanakan di Padang Besar melibatkan Kompleks Plazaria Padang Besar yang boleh memuatkan 188 unit gerai dan dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.

Katanya, selain itu, Kompleks Pavilion Padang Besar yang mempunyai 11 blok gerai satu tingkat dan 110 unit kedai dengan nilai pelaburan sebanyak RM30.3 juta juga bakal dibuka kepada pengunjung pada suku kedua tahun 2023. 

“Projek-projek ini dilihat akan dapat membantu lagi meningkatkan prasarana awam serta menarik lebih ramai pengunjung selepas ini,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya