Sidang DUN Perlis: Kerajaan negeri bantu pesawah atasi isu padi

Sidang DUN Perlis: Kerajaan negeri bantu pesawah atasi isu padi angin

RAZALI SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Isu padi angin yang membelenggu pesawah di negeri ini mendapat perhatian kerajaan negeri menerusi beberapa langkah yang dilaksanakan bagi memastikan hasil pengeluaran tanaman itu tidak terjejas.

Kebiasaannya, pesawah tidak dapat membezakan antara pokok padi dan padi angin sehingga mendorong kepada pengurangan hasil tanaman mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, antara langkah yang dilaksanakan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi mengatasi permasalahan itu adalah dengan memastikan penggunaan benih padi sah menerusi pengeluar yang dilantik.

“Selain itu, MADA turut menyediakan Senarai Semakan Tanaman Padi sebagai panduan kepada pesawah bagi mengawal serangan padi angin dengan memberi penekanan bermula daripada peringkat pemilihan benih yang sah.

“Malah pesawah juga digalakkan menggunakan kaedah menanam secara mencedung atau jentanam yang berkesan mengatasi isu padi angin ini,” katanya dalam Sidang DUN Perlis di sini hari ini.

Razali berkata demikian sewaktu menjawab pertanyaan lisan dikemukakan oleh Abu Bakar Hamzah (Kuala Perlis-PN) berhubung langkah diambil kerajaan negeri khususnya MADA dalam mengatasi isu padi angin.

Dalam pada itu, Razali berkata, Jabatan Pertanian negeri turut mengambil beberapa langkah bagi mengatasi isu tersebut antaranya dengan menjalankan Bancian Pengesanan dan Ramalan (P&R) dan lawatan diagnostik sekiranya menerima aduan berkaitan padi angin.

“Selain itu, kursus secara tidak formal turut diberikan kepada pesawah berhubung kaedah rendaman dan rawatan benih padi bagi meningkatkan hasil pengeluaran mereka,” katanya.

Tambahnya, isu padi angin ini telah berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu dan permasalahan itu sememangnya sentiasa mendapat perhatian kerajaan negeri.

“Pelbagai agensi telah mengambil langkah proaktif dalam memastikan isu ini dapat diatasi dengan sebaiknya malah pesawah juga perlu memastikan mereka mematuhi kaedah tanaman yang disarankan,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya