Sidang DUN Perak: Tiada bayaran premium tanah secara ansuran - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perak: Tiada bayaran premium tanah secara ansuran

SAARANI Mohamad pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri tidak berhasrat melaksanakan pembayaran premium tanah secara ansuran meskipun terdapat permintaan bagi tujuan itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembayaran secara ansuran tidak dapat dilaksanakan kerana ia akan menjejaskan audit dan sasaran Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri.

Beliau berkata, PTG juga mempunyai Indeks Petunjuk Utama (KPI) tertentu untuk mereka menentukan jumlah pungutan setiap tahun.

“Saya minta maaf kita tidak dapat menyempurnakan permintaan ini kerana membabitkan audit dan sasaran atau KPI bagi pendapatan yang dijanjikan PTG negeri.

“Jika dibenarkan bayaran (premium tanah) secara ansuran, sukar untuk PTG membuat ketetapan bagi KPI mereka,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Ong Boon Piow (DAP-Bercham) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Sementara itu, menjawab soalan lisan Muhammad Faisal Abdul Rahman (Pas-Trong) berkaitan pemilikan hak milik tanah yang dikatakan menjadi isu utama di DUN Trong, Saarani berkata, terdapat beberapa punca kelewatan pemprosesan permohonan tanah dan juga kelewatan pemprosesan pemberian hak milik tanah di DUN berkenaan.

Katanya, antara punca yang dikenal pasti ialah permohonan tidak lengkap diterima dan kelewatan mengemukakan dokumen-dokumen sokongan berkaitan.

“Selain itu, prosedur pelupusan tanah yang perlu dipatuhi merangkumi keperluan laporan atau ulasan daripada jabatan dan agensi kerajaan yang lain serta tempoh pemprosesan oleh jabatan teknikal bagi penyediaan laporan siasatan tanah dan ulasan jabatan itu.

“Kelewatan juga membabitkan proses penilaian yang melibatkan pihak Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) selain proses penyediaan permintaan ukur dan pengeluaran pelan oleh pihak Jabatan Ukur dan Pemetaan sebelum sesuatu geran dapat didaftarkan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri komited untuk menyelesaikan isu hak milik tanah yang tertunggak sejak sekian lama di mana usaha memuktamadkan pemilikan hak milik tanah sentiasa menjadi dasar keutamaan kerajaan negeri.

“Kerajaan negeri telah menjalankan penurunan kuasa kepada pentadbir tanah bagi mempercepatkan permohonan untuk pertimbangan.

“Di samping itu, proses permohonan telah ditetapkan melalui piagam pelanggan yang digariskan iaitu permohonan pemberi milikan hendaklah disempurnakan dalam tempoh 190 hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya