Sidang DUN Perak: Kompleks jeti penumpang baharu lebih selesa di Pangkor - Utusan Malaysia

Sidang DUN Perak: Kompleks jeti penumpang baharu lebih selesa di Pangkor

LOH SZE YEE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri akan membina sebuah kompleks jeti penumpang yang lebih selesa untuk menampung jumlah pengunjung ke Pulau Pangkor yang semakin bertambah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Loh Sze Yee berkata, kompleks jeti penumpang itu yang merupakan pintu masuk utama ke Pulau Pangkor akan turut mempunyai fasiliti seperti kedai bebas cukai, ruang menunggu yang luas, kemudahan parkir berbumbung dan fasiliti-fasiliti lain untuk keselesaan pengunjung.

“Pulau Pangkor telah diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai mulai 1 Januari 2020. Kerja-kerja berkaitan Pulau Bebas Cukai telah dilaksanakan oleh Sekretariat Pulau Bebas Cukai (PBC) Pangkor yang dianggotai oleh pelbagai jabatan dan agensi.

“Namun begitu, bermula pada Julai 2022, Sekretariat PBC telah diletakkan di bawah Majlis Perbandaran Manjung (MPM) dengan nama Unit Pengurusan Pulau Bebas Cukai (UPPBC), MPM.

“Pada ketika ini, unit tersebut telah mengambil alih keseluruhan tanggungjawab yang telah dipikul oleh Sekretariat PBC Pangkor sebelum ini dalam usaha memajukan dan mempromosikan Pulau Bebas Cukai Pangkor,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Rosli Abd Rahman (PN – Pasir Panjang) mengenai perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan kemajuan Pulau Pangkor setelah diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurutnya, pada tahun 2019, kerajaan negeri telah mula melaksanakan pelbagai projek menaik taraf infrastruktur kemudahan awam dan fasiliti pelancongan sebagai persediaan menampung kemasukan pelancong.

Beliau berkata, kerajaan negeri masih melaksanakan pelbagai projek pembangunan infrastruktur bagi memenuhi keperluan dari aspek ekonomi, infrastruktur dan pelancongan selaras dengan hasrat untuk menjadikan Pulau Pangkor sebuah Pulau Bebas Cukai dan kawasan pelancongan yang utama di negeri Perak dan mampu untuk bersaing dengan Pulau Bebas Cukai yang lain.

“Antara pembinaan yang dilaksanakan pada tahun 2021 dalam usaha menambah baik pelancongan di Pulau Pangkor ialah pembinaan ruang menunggu dengan kapasiti 200 tempat duduk, ruang pemeriksaan Kastam untuk menempatkan mesin pengimbas bagasi, Pejabat Imigresen dan bilik tahanan Pejabat Imigresen,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini, terdapat 12 buah kedai bebas cukai yang beroperasi di Pulau Pangkor.

Katanya, dalam usaha untuk menjadikan Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai dan destinasi pelancongan keluarga, kerajaan negeri akan memastikan bentuk muka bumi dan alam semulajadi di pulau ini tetap terpelihara.

“Kerajaan negeri memberikan tumpuan untuk mempromosikan aktiviti-aktiviti eko-pelancongan seperti snorkeling, jungle trekking, bird feeding dan berkhemah.

“Selain itu, pelancong juga boleh menikmati keindahan pantai di Pasir Bogak dan Teluk Nipah. Perkampungan nelayan yang terdapat di sekitar Pulau Pangkor juga menjadi satu daya tarikan yang unik kepada pelancong.

“Kerajaan negeri juga mengharapkan pembangunan yang seiring dengan pertambahan kemasukan pengunjung, faktor alam semula jadi dan keindahan pulau akan sentiasa terpelihara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya