IPOH: Sebanyak 1,378 permohonan bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) diterima pada tahun ini dengan kebanyakannya diletakkan dalam senarai menunggu.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Sandrea Ng Shy Ching berkata, sehingga kini, terdapat 16 PPR telah dibina di seluruh negeri membabitkan 2,876 unit rumah.
Katanya, projek berkenaan mendapat permintaan tinggi dan dilihat keperluan mendesak untuk rakyat yang mahukan kediaman yang selesa dan murah.
“Kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk membina lebih banyak PPR bagi membantu memenuhi permintaan rakyat.
“Setakat ini, kerajaan negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mencadangkan empat tapak bagi pembinaan PPR kepada pihak kementerian.
“Diharapkan permohonan ini diluluskan dalam masa terdekat untuk membantu rakyat memiliki rumah PPR ini,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Bersatu-Sungai Manik) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.
Sementara itu, Sandrea Ng bersetuju dengan cadangan melibatkan pihak swasta bagi mendepani cabaran membina lebih banyak projek PPR bagi mengurangkan bebanan rakyat terhadap kadar sewa rumah yang tinggi.
“Isu utama yang dihadapi PPR adalah tempoh masa menunggu yang panjang serta unit yang tidak mencukupi. Dalam hal ini, kerjasama dengan pihak swasta membantu menambah baik dasar penyewaan sedia ada.
“Sektor swasta boleh memainkan peranan dalam projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu menaik taraf kemudahan seperti pembinaan perpustakaan, mengecat semula bangunan dan sebagainya,” katanya. – UTUSAN