Siapa sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam baharu?

Siapa sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam baharu?

ZAINI UJANG, SOLLEHUDDIN ALYUBI ZAKARIA dan MOHAMMAD MENTEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Individu yang bakal dilantik sebagai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bukan sahaja mesti mendukung prinsip akauntabiliti dan ketelusan, sebaliknya perlu membawa agenda ‘Islah’ atau perubahan dalam pentadbiran kerajaan seperti hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam erti kata lain, orang baharu berkenaan hendaklah berprestasi tinggi, berintegriti, dinamik dan berjiwa rakyat sejajar visi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Justeru, Datuk Seri Dr. Zaini Ujang dan Datuk Sollehuddin Alyubi Zakaria adalah antara calon sesuai mengisi kerusi panas tersebut ekoran penamatan penyandang sebelum ini.

Selain itu, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital, Datuk Seri Mohammad Mentek dilihat layak kerana beliau merupakan antara ketua setiausaha kementerian paling kanan dan pernah menerajui pelbagai agensi dan jabatan.

Sebaliknya, jika mahu mengambil kira kelayakan akademik, Zaini, 57, yang kini merupakan Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, beliau layak dengan melihat rekod dalam bidang ilmiah dan penyelidikan di samping pernah menjadi Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pada usia 43 tahun, iaitu individu termuda dilantik untuk jawatan itu.

Tidak kurangnya Sollehuddin Alyubi merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri iaitu jawatan paling kanan dalam jabatan itu di samping baharu sahaja berusia 49 tahun. Pengalaman luas beliau dalam pelbagai bidang antaranya pengurusan kewangan dan pembangunan sumber manusia termasuk pernah berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.

ASEH CHE MAT

Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Dr. Aseh Che Mat menjelaskan, individu yang bakal dilantik mengisi kekosongan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam tidak mengikut senioriti sebaliknya mengikut kelayakan dan merit dalam pentadbiran kerajaan.

Jelasnya, ukuran senioriti diambil kira sekiranya wujud dua nama calon sesuai untuk jawatan berkenaan.

“Selalunya pelantikan ikut merit dan kelayakan, paling penting Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dilantik individu berkaliber dan mampu menjiwa isu dalam dan luaran yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan khususnya membabitkan soal perjawatan.

“Utama sekali boleh diterima supaya dapat berperanan pembaharuan keseluruhan perkhidmatan awam supaya lebih cekap dan efektif,” katanya.

Selain mereka, tiga nama lain adalah Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ruji Ubi; Ketua Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Datuk Nor Azmie Diron dan Ketua Pengarah Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu), Datuk Dr. Yusof Ismail dengan mengambil kira kekananan mereka dalam kalangan senarai ketua perkhidmatan.

Lazimnya Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dipilih daripada orang nombor satu Mampu dan Ketua Setiausaha kementerian paling kanan.

MOHD. SHAFIQ ABDULLAH

Jawatan itu kosong setelah kerajaan memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan Datuk Seri Mohd. Shafiq Abdullah berkuat kuasa 12 Disember lalu.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu surat kepada Mohd. Shafiq yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali bertarikh 1 Disember di bawah perkara Penamatan Demi Kepentingan Awam Di Bawah Peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] Dan dibersarakan Mengikut Perenggan 10(5)(D) Akta Pencen 1980 [Akta 277].

Bagaimanapun Aseh menjelaskan, terserah kepada kerajaan untuk memilih mana-mana pegawai kerajaan yang dirasakan sesuai dilantik untuk mengisi kekosongan kedudukan itu.

“Calon sesuai? Saya tidak tahulah, saya pun dah lama bersara,” katanya.

ADNAN MAT

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Adnan Mat berkata, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam perlu dilantik dalam kalangan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan tidak boleh melibatkan orang luar atau golongan profesional.

Katanya, proses pelantikan tersebut memerlukan proses penelitian yang mana Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) terlebih dahulu mengemukakan sekurang-kurangnya lima nama kepada Ketua Setiausaha Negara sebelum dibawa kepada Perdana Menteri.

“Perdana Menteri kemudian mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan oleh Seri Paduka,” katanya.

Namun beliau enggan mengulas calon sesuai dan terserah kepada kebijaksanaan kerajaan untuk memuktamakan individu berkelayakan.

“Kalau CUEPACS cakap, nanti orang cakap kita favour (berkehendakkan) orang tertentu, jadi saya tiada komen,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya