CIK Bunga berkesempatan duduk berbual dengan Shila Amzah semasa bertemu mata di sebuah majlis hiburan, baru-baru ini.
Ketika itu, Shila baru selesai melancarkan single terbarunya, Jauh Hati.
Dalam asyik berbual, Cik Bunga tegur Shila yang kini terlalu aktif bekerja.
Malah, awal tahun depan, sudah berderet undangan menyanyi diterima, sekali gus menyaksikan jadualnya semakin padat, termasuk terbang ke luar negara.
Bila masa mahu rehat? Nanti jatuh sakit! Shila bagaimanapun, bersyukur sebab walaupun tidak cukup rehat, jarang sekali dia jatuh sakit. Memang dari dahulu Shila begitu.
Namun, terkejut juga Cik Bunga bila Shila beritahu, dia baru sahaja pulih daripada ‘sakit misteri’.
Kata Shila, dia tidak mahu memanjangkan cerita tentang hal tersebut, namun cukuplah dikatakan dia sendiri pelik dengan apa yang menimpa dirinya.
Setelah bertemu ustaz dan mendapatkan rawatan alternatif, Shila semakin pulih. Alhamdulillah. Siapa pula gerangan yang melakukan sihir tu?
Bagi Cik Bunga, itu memang tidak baik.
Apa sebab dan punca hingga tergamak buat begitu? Takkan kerana dengki sebab kerja, sanggup buat Shila begitu? Tetapi, memang ada manusia begitu di dunia ini.
Pantang tengok orang lebih dan maju sikit, mulalah dengki, iri hati dan sebagainya. Tapi bila buat orang sampai jatuh sakit semata-mata untuk puaskan hati, apa yang kita dapat? Hmmm… tak boleh nak hadamlah.
Tidak bolehkah berusaha dengan cara bersih untuk mencipta kejayaan? Yang tak baik juga jadi pilihan. Cik Bunga doakan, individu itu lekas-lekaslah bertaubat.