KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terkorban akibat kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm dekat jalan menghubungkan Batang Kali dengan Genting Highland.
Menerusi hantaran ringkas Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua menzahirkan rasa dukacita atas tragedi yang berlaku awal pagi tadi dan menzahirkan harapan supaya seluruh keluarga mangsa bersabar dan tabah menghadapi dugaan.
“Seri Paduka berdua menzahirkan setinggi penghargaan kepada anggota jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.
“Seri Paduka berdua turut menzahirkan harapan agar operasi itu dilakukan secara rapi dan terancang. Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong turut mendoakan agar dipermudahkan urusan dan usaha mencari serta menyelamat mangsa-mangsa yang terperangkap dapat diselamatkan dengan segera,” kata kenyataan itu. – UTUSAN