Seramai 5,394 PATI diusir dari Sabah

Seramai 5,394 PATI diusir dari Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Sabah mengusir seramai 5,394 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada pelbagai negara sepanjang tempoh Januari hingga 8 Disember tahun ini.

Pengarah Imigresen Sabah, Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, penghantaran pulang PATI itu dilaksanakan melalui pengangkutan udara, laut dan darat.

Beliau berkata, semalam satu lagi proses penghantaran pulang PATI dilakukan melalui Pelabuhan Sandakan ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina.

“Program pemindahan tahanan PATI siri 20 untuk kategori usir melalui laut itu membabitkan seramai 469 tahanan warganegara Filipina yang sebelum ini ditempatkan di Depot Imigresen Tawau.

“Kesemua tahanan yang diusir keluar dari Sabah itu berusia di bawah 23 bulan sehingga 82 tahun. Kanak-kanak yang terlibat dengan penghantaran pulang adalah bersama ibu bapa atau penjaga masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kesemua tahanan pada kali ini diusir melalui laut dengan menggunakan pengangkutan Feri MV Antonia 1.

Sitti Saleha berkata, kesemua PATI tersebut telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Kesemua mereka telah selesai menjalani hukuman dan tindakan perundangan negara sebelum dipindahkan keluar dari Sabah.

Justeru, beliau mengingatkan semua warga asing yang masuk ke Sabah perlu memiliki dokumen perjalanan yang sah dan permit kerja yang dibenarkan (untuk bekerja di Sabah).

Jelas beliau, semua agensi penguatkuasaan di negeri ini akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

JIM Sabah juga akan terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dan pemindahan PATI setelah mereka melalui semua tindakan penguatkuasaan dan proses perundangan negara serta telah mendapat pengesahan daripada kedutaan negara asal masing-masing. -UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya