Semua jawatan wajar dipertandingkan demi maruah UMNO

Semua jawatan wajar dipertandingkan demi maruah UMNO

MUHAMAD MUQHARABBIN MOKHTARRUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemilihan UMNO yang akan berlangsung tahun depan, wajar dipertandingkan untuk semua peringkat termasuklah Presiden dan juga Timbalan Presiden.

EXCO Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, ura-ura satu usul khas akan dibahas seterusnya diluluskan dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO yang dijadualkan pada 13 Januari depan iaitu dua jawatan itu tidak dipertandingkan.

Katanya, Notis Khas sudah dikeluarkan pada 13 Disember lalu oleh Setiausaha Agong UMNO berhubung Perhimpunan Agung Khas UMNO tersebut.

“Ia seakan-akan ingin membiarkan perkara ini berlaku dan ini sebenarnya akan merencatkan lagi demokrasi parti.

“Ini bukan parti keluarga. Ini parti yang mempunyai ahli lebih 3 juta. Jadi amat tidak wajar, perkara ini dibiarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Muqharabbin berkata, beliau melihat kenyataan beberapa pemimpin UMNO di peringkat bahagian (Beruas, Sungai Besar dan Pasir Salak) yang secara jelas menyebut tidak mahu dua jawatan itu dipertandingkan tahun depan termasuk mereka yang secara samar-samar dicadangkan sebegitu.

Sekiranya benar, katanya, UMNO jelas makin hilang arah dan identiti perjuangan sekali gus bakal menjadi satu lagi episod hitam UMNO selepas kalah teruk PRU15.

“Kita bukan menang besar semasa PRU15. Sekiranya menang sekalipun, ia tetap wajar dipertandingkan.

“Setiap tiga tahun kita mengadakan pemilihan parti. Kali terakhir tahun 2018, 150,000 perwakilan mengundi memilih pimpinan baharu di peringkat Bahagian dan Pusat.

“Jika dulu sebelum PRU15 kita tidak mengadakan pemilihan atas alasan tidak mahu perpecahan dalam parti dan fokus PRU, sekarang pun tidak boleh? Habis bilanya nak ada pemilihan parti?” soalnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda Lembah Pantai seterusnya berkata, kalau betul-betul ingin melakukan perkara demikian, lebih baik semua jawatan termasuk semua Ketua Bahagian, Timbalan, Naib, Pemuda Puteri dan semua peringkat tidak perlu bertanding.

Katanya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merupakan Presiden pertama yang membenarkan jawatan Presiden dipertandingkan pada tahun 2018 selepas kali terakhir jawatan ini dicabar dalam pemilihan parti tahun 1987.

“Ia bukti UMNO semakin matang dan demokratik seiring usianya. Tiada pun masalah timbul tahun 2018. Yang menang dihormati, yang tewas kekal bersetia.

“Jadi, kenapa kita tiba-tiba ingin ambil langkah kuno ke belakang? Sedangkan, kita kalah teruk PRU-15, yang jelas lebih menuntut perubahan dan pembaharuan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya