JASIN: Seorang ibu tidak mampu menahan air mata ketika melangkah kaki ke pentas konvokesyen bagi menerima skrol diploma arwah anaknya pada Majlis Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka (PMM) Ke-20 di sini.
Ketika ditemui Utusan Malaysia, Rashidah Mei Hua Abdullah, 52, berkata, anak bongsunya, Rafiza Ahmad Rashdi meninggal dunia 13 November lalu kerana menghidap kanser saraf tahap empat.
Jelasnya, meskipun sedih dengan kehilangan tersebut, dia tetap bersyukur Rafiza yang merupakan graduan Jabatan Perdagangan PMM sempat menamatkan pengajian di sebalik berdepan penderitaan.
“Hari ini saya bersama dua kakak arwah hadir menerima diplomanya. Saya tidak mampu tahan sebak kerana teringat kepada arwah, saya bersyukur arwah berjaya menamatkan pengajian sebelum menghembus nafas terakhir.
“Tidak sampai setahun suami, Ahmad Rashdi Tufail Mohamed dijemput Ilahi, tahun ini Rafiza pula pergi. Tinggal tiga anak ini sahaja penguat semangat saya,” katanya penuh sayu.
Kakak sulung arwah, Rohayu Ahmad Rashdi, 29, berkata, Rafiza hanya mengetahui kanser yang dialaminya pada saat akhir iaitu kira-kira dua bulan sebelum meninggal dunia.
Katanya, meskipun terkejut selepas dimaklumkan doktor, arwah reda dan kekal cekal untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam pengajian.
“Arwah tahu dia ada kanser amat singkat, dalam tempoh dua bulan, diberitahu oleh doktor terus tahap empat. Kami adik-beradik reda dengan pemergian adik bongsu yang paling manja dan tegas,” katanya. – UTUSAN