Sedia garis panduan komprehensif di tapak perkhemahan, kawasan rekreasi - Utusan Malaysia

Sedia garis panduan komprehensif di tapak perkhemahan, kawasan rekreasi

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kerajaan Pusat menyediakan garis panduan yang komprehensif di tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi bagi memastikannya selamat untuk para pengunjung.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya juga mahu Kerajaan Pusat menjalankan siasatan menyeluruh terhadap punca yang membawa kepada kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan di Batang Kali dan pihak yang bertanggungjawab terhadap tragedi tersebut.

“Tragedi di Batang Kali berlaku akibat runtuhnya cerun bukit buatan manusia yang rupa-rupanya berpunca daripada tanah yang tepu air.

“Oleh itu, CAP menggesa Kerajaan Pusat menyediakan garis panduan yang komprehensif di tapak perkhemahan dan kawasan rekreasi untuk memastikan ia selamat ketika dikunjungi orang ramai,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father Organic Farm di Batang Kali, Selangor, awal pagi Jumaat lalu mengorbankan lebih 20 mangsa, manakala sembilan lagi belum ditemui.

Menurut Mohideen, Kerajaan Pusat juga perlu mengemas kini undang-undang alam sekitar untuk menangani cabaran krisis iklim dan masalah ekologi yang lain.

“Kita juga meminta kerajaan untuk menjalankan kajian tentang kegagalan agensi yang berkaitan untuk menguatkuasakan undang-undang melindungi alam sekitar serta mengambil langkah untuk membaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, pihak berkuasa berkaitan dilihat tidak mengambil pengajaran daripada bencana tanah runtuh dan melaksanakan langkah keselamatan mencukupi memandangkan terdapat 220 kes tanah runtuh dilaporkan dari Januari hingga Disember tahun ini.

“Setiap kali tragedi berlaku terdapat banyak perhatian media dan janji oleh menteri dan pegawai berkaitan, tetapi beberapa bulan kemudian isu ini berada di luar radar mereka semula,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya