Satu juta batang rokok seludup dirampas - Utusan Malaysia

Satu juta batang rokok seludup dirampas

SYED Nor Adli Syed Ab. Rahman (kiri) menunjukkan rokok tidak bercukai yang dirampas dari lori penyeludup di Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan hari ini. - UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR PUTEH: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas satu juta batang rokok putih yang diseludup masuk secara haram ke negeri menerusi Op Khas di kawasan perairan Tumpat dekat sini kelmarin.

Dalam operasi yang bermula pada pukul 3.30 pagi hingga 6.10 pagi Maritim Malaysia Kelantan turut menyita dua buah lori dipercayai digunakan untuk membawa rokok-rokok seludup itu ke tempat selamat.

Pengarahnya, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, semasa melakukan rondaan pada pukul 3.30 pagi sepasukan anggota mengesan sebuah bot pancung berkuasa tinggi dikendalikan dua lelaki dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah muara Tumpat.

Menurutnya, hasil pemerhatian mendapati bot tersebut telah memasuki alur Sungai Tambun cetek bagi menghalang anggota bot peronda Maritim Malaysia dan berjaya meloloskan diri.

“Kita kemudian menggerakan pasukan darat untuk mengesan pergerakan penyeludup berkenaan dan hasilnya Maritim Malaysia Kelantan menemukan dua buah lori dalam keadaan mencurigakan di kawasan tebing Sungai Tambun.

“Hasil pemeriksaan yang dilakukan ke atas lori pertama membawa kepada penemuan 70 bungkusan plastik hitam mengandungi rokok putih. Lori kedua pula kita telah temukan 30 kotak bungkusan plastik hitam mengandungi rokok seludup,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali, di sini hari ini.

Syed Nor Adli memberitahu, siasatan awal mendapati anggota sindiket dalam bot pancung berkenaan berjaya memindahkan rokok-rokok tersebut ke dalam lori sebelum bertindak meninggalkan kenderaan itu selepas menyedari kegiatan haram tersebut dikesan anggota penguat kuasa.

Katanya, Maritim Malaysia Kelantan tidak menolak kemungkinan sendiket menjalankan kerja memunggah rokok tanpa cukai pada awal pagi bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa.

“Nilai keseluruhan rokok seludup termasuk cukai dianggarkan berjumlah RM1.045 juta. Pada masa sama, kita tidak menolak kemungkinan rokok berkenaan akan dipasarkan ke beberapa buah negeri lain.

“Setakat ini tiada sebarang tangkapan dibuat dan kes berkenaan disiasat di bawah Akta Kastam 1967,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya