BUKIT MERTAJAM: Bekas pemain bola sepak kebangsaan, Salahuddin Che Rose, 53, meninggal dunia di Kuala Lumpur, tengah hari tadi.
Menurut portal Penang Football Club, berita pemergian Salahuddin yang juga bekas pemain Pulau Pinang itu disahkan sendiri oleh anak Allahyarham, Farah Nadirah.
Salahuddin yang sinonim dengan gelaran ‘orang besi’ itu merupakan anak kelahiran Bukit Mertajam dan memulakan karier bola sepaknya bersama Pulau Pinang pada 1991.
Ketika era kegemilangannya, Salahuddin pernah menganggotai skuad projek Olimpik Barcelona 1992 atau Barcelona Babes bersama beberapa legenda pemain bola sepak termasuk Azman Adnan, Datuk Ong Kim Swee dan ramai lagi.
Pada masa sama, pemain pertahanan itu juga pernah membentuk gandingan mantap bersama Alan Davidson ketika bersama skuad Tok Gajah selepas Barcelona Babes dibubarkan selain menjadi tonggak pertahanan ampuh ketika bersama Pulau Pinang.
Dalam pada itu, Farah Nadirah memberitahu, jenazah bapanya akan disemadikan di Kuala Lumpur esok. – UTUSAN