Russele Yang Dipertua baharu DUN Perlis - Utusan Malaysia

Russele Yang Dipertua baharu DUN Perlis

RUSSELE Eizan mengangkat sumpah jawatan sebagai Speaker DUN Perlis ketika Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis di Kompleks DUN, Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Naib Pengerusi 2 Perikatan Nasional (PN) negeri, Russele Eizan mengangkat sumpah jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Russele, 65, yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Empat dipilih bagi menggantikan Datuk Hamdan Bahari yang memegang jawatan berkenaan sejak 2013.

Dalam kancah politik, Russele turut memegang beberapa jawatan lain dalam parti antaranya Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Perlis selain menjadi Ketua Badan Perhubungan PN Kawasan Arau.

Selain itu, 15 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut mengangkat sumpah jawatan masing-masing sewaktu pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Pertama DUN Perlis di Kompleks DUN di sini hari ini.

Menerusi ucapannya, Russele berkata, pelantikan beliau sebagai Speaker DUN merupakan satu penghargaan dan amanah besar yang perlu dipikul dengan sebaiknya.

“Tahniah juga atas pelantikan semua wakil rakyat, Menteri Besar dan barisan Exco kerajaan negeri. Terima kasih diucapkan kepada semua wakil rakyat terdahulu yang telah berusaha bagi memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Russele berkata, pihaknya berharap semua wakil rakyat baharu yang dipilih dapat memberikan seluruh usaha dan tenaga membantu Menteri Besar bagi memastikan pentadbiran serta pembangunan negeri berada pada tahap membanggakan.

Katanya, setiap wakil rakyat juga disaran agar dapat mematuhi Undang-Undang Tubuh Negeri dan berbahas dengan penuh integriti bagi memastikan perjalanan dewan lancar.

“Besar harapan saya agar Yang Berhormat sekalian dapat menghormati dewan ini sebagai satu wadah forum tertinggi di samping memberikan kerjasama penuh agar perbahasan berjalan dengan penuh tertib dan harmoni,” katanya.

Dalam PRU15, gabungan PN yang diterajui Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 14 daripada 15 kerusi DUN di negeri ini.

Kemenangan itu sekali gus menamatkan dominasi Barisan Nasional (BN) di negeri ini sejak lebih 60 tahun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya