PUTRAJAYA: Kelibat seekor rusa yang tular dirakamkan berlari di atas jalan raya sekitar bandar Jerantut, Pahang pada Ahad lepas disahkan bukan spesies haiwan dilindungi.
Perkara tersebut dijelaskan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) menerusi laman sosial rasminya hari ini sebagai menjawab isu berkenaan.
“Hasil siasatan mendapati bahawa ia merupakan spesies Rusa Timur atau nama saintifik Rusa timorensis yang tidak termasuk dalam senarai hidupan liar dilindungi,” katanya.
Media tempatan melaporkan penduduk Jerantut gempar apabila menyaksikan seekor rusa kecil bertanduk yang berkeliaran di bandar itu dan berlari menuju Kuala Tembeling.
Ramai penduduk membuat andaian bahawa rusa itu terlepas daripada sebuah kandang peliharaan berdasarkan keadaannya yang tidak terlalu liar dengan tubuh badan bersih.
Namun, tidak kurang warganet membuat jangkaan kemunculan haiwan itu sebagai tanda awal berlaku banjir selain ada berjenaka konon menunjukkan Krismas semakin hampir.
Bagaimanapun mamalia berkenaan kemudian ditemukan terbaring mati di jalan raya dipercayai mungkin dilanggar kenderaan berat yang tidak sempat mengelak kehadirannya.
Mengulas lebih lanjut, Perhilitan turut mengesahkan bahawa pihaknya telah menjalankan siasatan di lokasi itu pada hari yang sama video tersebut tular di platform media sosial.
“Rusa ini didapati bukannya daripada spesies terancam yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 atau dirujuk sebagai Akta 716,” tambah agensi itu lagi.
Bahkan Perhilitan Daerah Jerantut juga mengesahkan memang terdapat tiga tempat penternakan Rusa Timur di sekitar lokasi haiwan berkenaan yang dirakamkan warganet.
Rusa tersebut merupakan spesies kecil daripada keluarga Rusa Jawa yang banyak ditemui di gugusan kepulauan Nusantara dengan anaknya dilahirkan tanpa kelihatan bintik.
Jabatan Perkhidmatan Veterinar merekodkan Pahang menternak sejumlah 432 ekor rusa secara komersial sepanjang tahun ini, meningkat berbanding hanya 384 ekor tahun lalu. – UTUSAN