Runding semula projek pengurusan banjir jimat RM1.8 bilion - PM

Runding semula projek pengurusan banjir jimat RM1.8 bilion – PM

ANWAR Ibrahim menyampaikan Anugerah Khas Jasamu Dikenang kepada Balu Allahyarham Datuk Ramli Noraini, Datin Salmah Marsidin (dua kiri) pada Majlis Perasmian HPPK2022 di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan beliau mengarahkan Kementerian Kewangan untuk melakukan rundingan semula projek pengurusan banjir berjaya menjimatkan sebanyak RM1.8 bilion.

Perdana Menteri berkata, tindakan terbabit ternyata memberi kelebihan kepada kerajaan untuk menyalurkan peruntukan tersebut kepada rakyat.

Katanya, peruntukan RM15 bilion yang dibuat secara rundingan terus tanpa tender oleh kerajaan terdahulu mengakibatkan kos melambung.

“Akhirnya selepas rundingan semula dilakukan, kos RM15 bilion itu dapat dikurangkan dan sebanyak RM1.8 bilion dapat diselamatkan.

“Bayangkan RM1.8 bilion boleh diselamatkan. Ini isu tata kelola baik, pimpinan harus pastikan jangan ada ketirisan, bukan soal politik, tetapi soal rakyat. Bayangkan kalau RM1.8 bilion kalau dipulangkan kepada penjaja. Itu sebagai contoh sahaja,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK2022) di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar mahu semua kementerian dan agensi kerajaan menghentikan penganjuran majlis meriah dan mewah sekali gus mengelak berlakunya pembaziran perbelanjaan kerajaan.

Beliau berkata, amalan menyediakan pakaian baharu seperti batik untuk sesuatu acara juga perlu dihentikan.

“Jika mahu sediakan, beri kepada kakitangan peringkat bawah termasuk yang tergolong dalam B40. Berikan mereka baju batik percuma. Jangan beri kepada saya, menteri dan Ketua Setiausaha, sebaliknya diberikan kepada kakitangan bawahan,” katanya.

Beliau turut memberitahu, sebelum ini ada pihak memperlekehkan tindakannya menolak kereta baharu jenama Mercedes Benz dan gaji Perdana Menteri.

“Tetapi semua perlu ketahui, perkara kecil inilah, ia akan menjadi gunung (simpanan kewangan),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN