Rumah bapa bekas Ahli Parlimen Kangar terbakar, rugi lebih RM200,000 - Utusan Malaysia

Rumah bapa bekas Ahli Parlimen Kangar terbakar, rugi lebih RM200,000

KEADAAN rumah salah seorang mangsa yang musnah dalam kebakaran di Jalan Ciku, Taman Suriani, Kangar, Perlis. - UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Dua warga emas kerugian lebih RM200,000 selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Jalan Ciku, Taman Suriani di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu, tiga buah rumah teres setingkat yang terlibat dalam kebakaran berkenaan musnah 50 hingga 80 peratus.

Salah seorang mangsa, Ahmad Zakri Ghazali, 70, berkata, ketika kejadian, dia berada di rumah bersama anak dan cucunya sebelum dikejutkan dengan bunyi seperti kebocoran gas di bahagian dapur.

“Saya kemudian bergegas ke dapur dan melihat api sudah marak lalu terus menyelamatkan ahli keluarga lain untuk keluar dari rumah berkenaan. Buat masa ini anggaran kerugian dialami saya adalah adalah lebih RM100,000 disebabkan kebakaran ini,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Ahmad Abdullah, 71, berkata, dua buah bilik di rumahnya turut musnah selepas api merebak dengan begitu cepat.

Katanya, dia berada di tempat kerja sebelum dihubungi oleh isterinya yang memaklumkan mengenai kejadian itu.

“Alhamdulillah tiada yang cedera dalam kebakaran ini namun kami mengalami kerugian dalam anggaran RM120,000 disebabkan kemusnahan pada dua bahagian bilik,” katanya yang juga bapa kepada bekas Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kangar, Penolong Kanan Penguasa Bomba Halid Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 2.10 petang dan sepasukan anggota dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja memadam api.

Halid berkata, sejurus selepas tiba di lokasi, pihaknya mendapati kebakaran itu telah merebak dengan melibatkan tiga buah rumah teres setingkat.

“Hasil tindakan pantas anggota penyelamat api berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 3.36 petang. Tiada mangsa cedera namun seorang anggota bomba terpaksa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini selepas mengalami sesak nafas sewaktu menjalankan kerja-kerja pemadaman api,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya