KUBANG PASU: Seorang remaja maut setelah motosikal yang ditunggangnya dipercayai dilanggar sebuah treler di simpang tiga kawasan perindustrian Bukit Kayu Hitam, di sini semalam.
Mangsa, Khairul Shaakmal Khirul Rizal, 16, dari Changlun dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk pada anggota badan akibat pelanggaran tersebut.
Menurut Ketua Polis Daerah, Superintenden Rodzi Abu Hassan, kemalangan pada pukul 2.20 petang itu dipercayai berlaku ketika pemandu treler berusia 48 tahun yang memandu dari arah jalan utama membelok secara tiba-tiba ke Temin.
“Semasa membelok secara tiba-tiba bahagian sisi kiri treler berkenaan dilanggar mangsa yang bergerak dari arah bertentangan. Akibat pelanggaran tersebut mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Pemandu treler itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jitra untuk bedah siasat,” katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku dipercayai akibat kecuaian pemandu treler berkenaan yang secara tiba-tiba memasuki simpang.
“Polis menahan kenderaan yang terlibat untuk dihantar pemeriksaan Puspakom dan mengesan saksi bebas di lokasi kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. –UTUSAN