LANGKAWI: Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Ulu Melaka, Kampung Bukit Kemboja, di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa, Muhammad Alimi Alif, 16, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada pukul 8.45 malam.
Menurutnya, polis menerima panggilan daripada orang awam mengenai insiden yang melibatkan kereta jenis Perodua Kelisa dipandu seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun dan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 dinaiki mangsa.
“Siasatan awal mendapati kereta tersebut dalam perjalanan dari arah Padang Matsirat menghala ke Ayer Hangat dan sedang membelok ke kanan untuk masuk ke jalan di Kampung Bukit Kemboja.
“Mangsa yang datang dari arah bertentangan tidak sempat mengelak selepas dipercayai menunggang laju berdasarkan kesan brek yang panjang di tempat kejadian.
“Akibatnya motosikal ditunggang mangsa menghentam bahagian hadapan kereta terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Shariman berkata, mangsa yang tidak memakai topi keledar telah tercampak ke atas jalan raya, manakala pemandu kereta tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Tambahnya, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, di sini untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. –UTUSAN