INSIDEN jawapan spontan peserta yang dianggap kurang sopan mencetuskan keresahan penonton dalam sebuah program realiti, baru-baru ini, membuka mata banyak pihak.
Apatah lagi, program itu ditonton pelbagai lapisan umur hingga menimbulkan persoalan, wajarkah babak sebegitu dijadikan hidangan kepada khalayak?
Tidak kurang, ramai mempersoalkan tindakan produksi yang seolah-olah sengaja ‘mencanang’ kelemahan peserta semata-mata untuk mendapat jumlah tontonan tinggi.
Malah, ada yang menganggap, paparan kontroversi itu telah dirancang lebih awal. Benarkah ia sebahagian daripada perancangan produksi?
Sekalipun mempertahankan segala yang dipaparkan di skrin televisyen adalah realiti, bagi penonton, banyak pendekatan lain boleh diambil untuk memancing jumlah tontonan.
Ramai mempersoalkan, apakah elemen drama dan gimik masih relevan untuk menambat tontonan?
Apakah sudah tiba masa produksi memikirkan strategi baharu kerana khalayak semakin matang dalam menilai pengisian yang dihidangkan?
Berikut beberapa pandangan yang dikumpulkan berhubung isu tersebut.
Elemen ‘drama’ sangat diperlukan – Ahmad Zainuddin
BERPENGALAMAN selama 26 tahun dalam penulisan skrip program realiti televisyen, Ahmad Zainuddin Abdullah, 49, mengakui elemen tersebut memang diperlukan sebagai pengisian kandungan program.
Elemen ‘drama’, katanya mempunyai nilai tersendiri di mata penonton, sekali gus menjadi batu loncatan untuk program tersebut lebih popular apabila kandungan itu diperbualkan.
“Itu kandungan yang diperlukan dalam program realiti. Walaupun peserta memberikan jawapan sedemikian, pihak produksi tetap akan lepaskan untuk siaran.
“Ia akan meraih respons penonton. Lagi banyak orang bercakap mengenainya, lagi bagus. Ia membantu program tersebut untuk lebih dikenali,” katanya.
Ahmad Zainuddin yang juga penerbit program sejak 1996 menjelaskan, paparan kontroversi seperti itu secara tidak langsung menjadi bahan pemasaran percuma kepada stesen televisyen.
Jelasnya, ia lebih cepat tular ditambah dengan platform TikTok yang semakin mempunyai ramai pengguna.
“Nuha Bahrin pernah buktikan gara-gara nyanyiannya hingga program realiti yang disertainya tular.Menerusi platform itu juga, dia berusaha memperbaiki diri dan semakin dikenali menerusi lagu Casablanca.
“Pada saya, perkara itu berlaku spontan. Ada ketika, kita lupa apa yang berlaku di atas pentas kerana masa sangat terhad untuk membuat persediaan. Saya tidak salahkan peserta kerana mereka tidak mempunyai banyak pengalaman dan masih muda,” katanya.