Rayuan kes solar hibrid Rosmah didengar 22, 23 Jun depan - Utusan Malaysia

Rayuan kes solar hibrid Rosmah didengar 22, 23 Jun depan

ROSMAH MANSOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rayuan Datin Seri Rosmah Mansor terhadap sabitan dan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta berkaitan projek solar hibrid, akan didengar oleh Mahkamah Rayuan pada 22 dan 23 Jun tahun depan.

Pada tarikh yang sama, mahkamah turut mendengar rayuan isteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyingkirkan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan yang menjatuhi hukuman dalam kes rasuah yang dihadapinya.

Tarikh pendengaran selama dua hari itu ditetapkan Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan, Norkamilah Aziz ketika pengurusan kes itu di sini hari ini.

Sementara itu Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu wakil media, hujahan perlu difailkan pada atau sebelum 22 Mei 2023 manakala hujahan balas jika ada, perlu difailkan pada atau sebelum 7 Jun 2023.

“Perayu (Rosmah) akan menulis surat rasmi memohon Mahkamah Rayuan untuk menetapkan tarikh rayuan dilanjutkan pada 12 hingga 14 Julai 2023.

“Permohonan tertakluk kepada persetujuan Mahkamah Rayuan. Tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 3 Februari 2023 menerusi aplikasi Zoom untuk pihak-pihak mendapatkan keputusan permohonan itu,” katanya.

Pada 1 September lalu, Rosmah, 71, dihukum penjara 10 tahun dan denda RM970 juta selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Sehari kemudian, isteri bekas Perdana Menteri memfailkan notis rayuan untuk mengetepikan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi.

Petisyen rayuan pula difailkan pada 13 Oktober lalu dengan mengemukakan 127 alasan, antaranya mendakwa Hakim Mohamed Zaini merumuskan pembelannya adalah penafian kosong semata-mata (bare denial).

Menurut Rosmah, dalam kes tersebut pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan prima facie terhadapnya mengenai wang RM1.5 juta yang kononnya diletakkan di dalam dua beg galas bertali jingga, sudah diserahkan atau sebaliknya.

Selain wang RM1.5 juta, Rosmah turut membangkitkan pendakwaan juga gagal membuktikan dia telah menerima dua beg bagasi berisi RM5 juta daripada saksi pendakwaan ke-21 di Seri Perdana.

Bagi kesalahan pertama, Rosmah dikenakan denda RM937.5 juta, kesalahan kedua RM7.5 juta manakala kesalahan ketiga RM25 juta.

Bagi setiap kesalahan, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan memerintahkan ia dijalankan serentak.

Hakim Mohamed Zaini menjatuhkan hukuman itu terhadap Rosmah selepas mendapatinya bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sekiranya Rosmah gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 30 tahun.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Yih Tinn.

Sementara pembelaan diwakili peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jagjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork.

Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Rosmah untuk menangguhkan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Mengikut pertuduhan pertama, Rosmah disabitkan meminta suapan untuk dirinya sendiri RM187.5 juta, yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya Datuk Rizal Mansor, iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada bekas Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd, Saidi Abang Samsudin.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek dikenali sebagai Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta , pada 7 September 2017.

Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Bagi pertuduhan ketiga, Rosmah didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak Holdings mendapatkan projek serupa di tempat yang sama di Jalan Langgak Duta. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN