Ratusan ternakan 'mangsa' bah diselamatkan di Terengganu

Ratusan ternakan ‘mangsa’ bah diselamatkan di Terengganu

SEBAHAGIAN kambing yang berjaya diselamatkan dalam operasi pemindahan ternakan ketika banjir oleh pihak JPV Terengganu semalam. - GAMBAR IHSAN JPV
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kebimbangan ratusan ekor ternakan di beberapa lokasi yang dilanda banjir buruk di Terengganu berakhir apabila mereka berjaya dipindahkan ke tempat selamat.

Menurut hantaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menerusi laman sosialnya hari ini, misi menyelamatkan ruminan itu melibatkan pelbagai jenis lori agensi berkenaanmembabitkan sejumlah 132 ekor kambing dan bebiri milik dua penternak di Kampung Jeram, Manir, Kuala Terengganu.

Misi ini diketuai Ketua Bahagian Regulatori Veterinar JPV Terengganu, Dr. Ahmad Fadhli Mohamad Syuaib Asren selepas menerima laporan mengenai keadaan banjir di lokasi itu.

Semua ruminan tersebut kemudian selesai dibawa ke Kampung Tebakang, Bukit Payong dengan jarak perjalanan darat sejauh hampir 20 kilometer pada pukul 8 malam kelmarin.

‘Keceriaan’ jelas terpancar pada wajah haiwan berkenaan yang terselamat daripada mati lemas ditenggelami air banjir ketika diarah menaiki lori bagi dipindah ke tempat baharu.

Inisiatif berkenaan diatur rapi susulan lawatan pemantauan oleh Pengarah Perkhidmatan Veterinar Terengganu, Dr. Anun Man pada sebelah petang sebelum segera dipindahkan.

Team DVS Terengganu juga bekerja keras dalam pemindahan 12 ekor lembu diusahakan oleh seorang penternak di Kampung Jeram Hilir, Kuala Nerus yang terjejas akibat banjir.

“Premis milik Mohd. Harun Al-Hafiz ini yang menempatkan lembu baka Kedah-Kelantan itu telah dua hari terputus jalan darat ekoran dinaiki air ketinggian paras dada,” katanya.

Penternak itu yang tampil hadir sendiri ke Bilik Gerakan Bencana Banjir Ibu Pejabat JPV negeri tersebut memohon bantuan sebelum petugas agensi berkenaan dikerah ke lokasi.

Semua lembu ini ditempatkan sementara di Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu yang jarak kurang lima kilometer dan merupakan kediaman kepada nenek Mohd. Harun.

Lori jabatan itu bermuatan dua tan digunakan bagi mengangkut sedozen lembu tersebut malah JPV menyumbangkan makanan pellet selain ubat anti-stres untuk ternakan beliau.

Anun kemudian berkesempatan meninjau pula keadaan seorang penternak kambing dan lembu di Kampung Gemuruh, Kuala Terengganu serta menyampaikan sumbangan pellet.

Pemberian makanan haiwan tersebut ujarnya, diharapkan dapat meringankan beban para penternak yang terjejas serta terputus bekalan pellet susulan banyak laluan dinaiki air. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya