PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menasihatkan rakyat Malaysia yang ingin membuat perjalanan ke Thailand dan Indonesia supaya memilih waktu sesuai dan menjauhi lokasi yang dianggap boleh mengundang ancaman.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, rakyat juga diminta sentiasa peka dengan perkembangan semasa sesuatu lokasi atau destinasi yang mahu dikunjungi.
“Kami tahu bahawa tahap keselamatan dan kedaulatan sesebuah negara menjadi tangggungjawab pihak berkuasa di negara tersebut, namun rakyat kita juga harus peka.
“Prinsip yang kita harus patuhi adalah tidak mencari bahaya atau menjauhi lokasi yang dianggap sebagai mengancam,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan kejadian dua landasan kereta api dibom di Sadao, Songkhla, Thailand pada Sabtu dan Selasa lalu yang menyebabkan tiga maut dan empat cedera.
Dalam kejadian di Bandung, Indonesia pula, dua maut apabila seorang suspek pengganas bersenjatakan pisau meletupkan dirinya sejurus selepas memasuki sebuah balai polis.
Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, Malaysia dan Thailand sentiasa komited dalam mempertingkatkan kawalan sempadan yang dikongsi kedua-dua negara.
Malah, katanya, perkara sama turut disentuh dalam pertemuannya bersama Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jen Prawit Wongsuwan, semalam.
Jelasnya lagi, kedua-dua negara juga bersetuju akan ada langkah susulan yang membabitkan pasukan keselamatan negara dengan negara jiran.
Saifuddin berkata, komitmen itu bukan hanya khusus kepada insiden pengeboman itu sahaja sebaliknya ia komitmen berterusan kerana kedua-dua negara itu mempunyai hubungan yang sangat akrab. – UTUSAN
habis.