Pulau Pinang rekod hasil pengeluaran padi tertinggi negara - Utusan Malaysia

Pulau Pinang rekod hasil pengeluaran padi tertinggi negara

MOHD. MUHAIMIN Ibrahim (kanan) bersama Dr. Norlela Ariffin (tengah) berbual dengan seorang peserta kursus Pensijilan MeSTI, FoSIM dan Kualiti Makanan Peserta 'Farmers to Farmers' Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian negeri di Butterworth, Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Jabatan Pertanian Pulau Pinang yakin hasil pertanian di negeri itu khususnya melalui tanaman padi akan terus meningkat pada masa hadapan sekali gus membantu menambah pendapatan petani.

Pengarahnya, Mohd. Muhaimin Ibrahim berkata, ia susulan kejayaan Pulau Pinang merekodkan hasil purata pengeluaran padi tertinggi negara iaitu sehingga mencecah 5.7 metrik tan sepanjang tahun lepas meskipun kawasan tanaman padi di negeri itu hanya seluas kira-kira 12,105 hektar.

Justeru katanya, tidak mustahil hasil yang lebih baik boleh dicapai sekiranya tumpuan dan bantuan kewangan khususnya diberikan kepada golongan berkenaan oleh kerajaan negeri.

“Secara keseluruhannya, jumlah yang diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk pertanian pada 2019 hanya sebanyak RM3 juta setahun, namun jumlah itu meningkat kepada RM5 juta bermula 2020 selain peruntukan tambahan yang diberi secara ‘one-off’.

“Sehingga 2023 (tahun depan), sebanyak RM6.9 juta akan diperuntukkan untuk sektor pertanian sahaja dan ini bermakna, kerajaan negeri sememangnya memberi perhatian terhadap sektor ini dengan harapan dapat membantu meningkatkan hasil pengeluaran selain menambah pendapatan petani, penternak, nelayan serta usahawan yang terlibat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI), Sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FoSIM) dan Kualiti Makanan Peserta ‘Farmers to Farmers’ Industri Asas Tani, Jabatan Pertanian negeri di sini semalam.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan negeri, Dr. Norlela Ariffin.

Seramai 140 peserta mengambil bahagian dalam kursus tersebut yang diadakan bertujuan memberi pendedahan serta kefahaman terhadap kepentingan pengamalan pensijilan MeSTI, FoSIM dan Kualiti Makanan selain memberi insentif kepada peserta yang mempraktikkan amalan tersebut hingga menerima pensijilan terbabit.

Dalam pada itu, Mohd. Muhaimin berkata, program ‘Farmers to Farmers’ Industri Asas Tani bermula sejak tahun lepas dengan memberi tumpuan terhadap tanaman fertigasi seperti cili, sayur dan cendawan dan disertai lebih 60 peserta.

Bagaimanapun katanya, untuk tahun ini, keutamaan diberikan kepada peserta yang mengusahakan produk sendiri dengan peruntukan sebanyak RM900,000 bagi membolehkan mereka menerima pelbagai bantuan khususnya dari segi peralatan.

“Selain itu, peserta juga dibawa mengikuti lawatan (keusahawanan) termasuk ke Selangor, baru-baru ini,” katanya yang memberitahu, peserta terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk suri rumah serta mereka yang bekerja secara sambilan untuk menambah pendapatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya