Pulau Pinang arah PBT pantau tapak perkhemahan komersil, tapak glamping - Utusan Malaysia

Pulau Pinang arah PBT pantau tapak perkhemahan komersil, tapak glamping

YEOH Soon Hin (tengah) dalam sidang akhbar berkenaan acara perarakan Chingay, tarian singa dan naga yang akan kembali diadakan secara fizikal di Pulau Pinang pada 1 Januari 2023 di George Town, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau tapak-tapak perkhemahan komersil dan tapak konsep perkhemahan glamor (glamping) di negeri itu bagi mengelakkan sebarang insiden tidak diingini berlaku di kawasan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, pada masa ini, pihaknya tidak mempunyai jumlah sebenar tapak perkhemahan komersil dan glamping di negeri itu memandangkan industri tersebut masih baharu.

“Insiden tanah runtuh di Batang Kali telah menyedarkan kita dan pihak kami akan mengarahkan PBT dan pihak berkuasa lain menjalankan pemantauan di tapak perkhemahan dan tapak glamping.

“Kami juga meminta pemilik tapak perkhemahan dan tapak glamping di negeri ini sentiasa memastikan keselamatan pengunjung di kawasan masing-masing,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Soon Hin memaklumkan perarakan Chingay, tarian singa dan naga akan kembali diadakan secara fizikal di Pulau Pinang pada 1 Januari 2023.

Perarakan itu akan bermula pukul 7 malam dari Jalan Johor hingga ke Lebuh Light dan akan tiba di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) dekat sini, pukul 9 malam.

Dalam kejadian tanah runtuh awal pagi tadi di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, Selangor, sehingga pukul 1.48 petang ini, seramai 16 orang termasuk seorang kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia selepas tertimbus di tiga tapak perkhemahan itu.

Menurut Soon Hin, pihaknya juga akan mengkaji semula undang-undang berkaitan tapak perkhemahan dan tapak glamping memandangkan konsep percutian sedemikian masih baharu.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua pemilik tapak perkhemahan dan glamping untuk mendapatkan lesen masing-masing daripada PBT.

“Sepatutnya sesuatu pembangunan di mana-mana kawasan termasuk tapak perkhemahan dan tapak glamping perlu mendapat kelulusan daripada PBT,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya