SHAH ALAM: Penceramah selebriti, Pencetus Ummah (PU) Azman didakwa sekali lagi atas kesalahan seksual di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini menjadikan kesemua pertuduhan dihadapinya sebanyak 12 pertuduhan.
Bagaimanapun, tertuduh atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rasyihah Ghazali selepas dua pertuduhan dibacakan ke atasnya.
Bagi pertuduhan terbaharu itu, Azman Syah, 41, didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam sebuah bilik inap desa di Jalan Kebun di sini antara pukul 12 tengah malam dan 5.30 pagi pada September 2017.
Kesalahan tersebut terletak di bawah Seksyen 14 (a) dan 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali kemudian menawarkan jaminan berjumlah RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan tertuduh tidak boleh mendekati mangsa serta saksi pendakwaan sehingga perbicaraan kes selesai.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, Fahmi Adilah memohon mahkamah supaya mengurangkan jumlah jaminan kerana anak guamnya ketika ini berdepan dengan pendapatan yang terjejas selepas tidak lagi menerima jemputan berceramah sejak September lalu.
“Tertuduh sebelum ini telah membayar jaminan keseluruhan RM74,000 untuk pertuduhan di Mahkamah Seremban, Klang dan Ampang.
“Dia telah menggunakan semua simpanan untuk jelaskan jumlah jaminan itu selain dibantu ahli keluarga dan rakan-rakannya yang bersimpati,” katanya.
Rasyihah kemudian membenarkan jaminan RM14,000 dengan seorang penjamin dan Azman Syah perlu melapor diri di balai polis berdekatan kawasan taman perumahannya pada setiap awal bulan selain dilarang mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan.
Beliau turut menetapkan sebutan dua kes terbaharu itu adalah pada 30 Januari tahun hadapan.
Sebelum ini, PU Azman yang juga dikenali sebagai Cik Man berdepan lima pertuduhan di Mahkamah Sesyen Seremban, empat kes di Mahkamah Majistret dan Sesyen Klang serta satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ampang semalam.
Sementara itu, dia yang masih bujang ditemui selepas prosidingnya hari ini, menzahirkan penghargaan kepada pihak pemberita yang menunggu sejak 9 pagi hari ini sehingga pukul 12.00 tengah hari untuk mendengar prosiding kesnya.
“Assalamualaikum, terima kasih kerana menunggu dan doakan saya,” ujarnya. – UTUSAN