PUTRAJAYA: Proses mengundi di Parlimen Padang Serai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman berjalan lancar setakat 11 pagi ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, tiada aduan dan masalah dilaporkan di dua lokasi pengundian itu setakat ini.
Beliau berkata, pihaknya percaya pengundi di sana sudah matang dan berdisiplin, malah tiada kekecohan dilaporkan.
“Anggota yang ditugaskan di dua lokasi pengundian itu juga mencukupi, malah kami turut sediakan pasukan sokongan sebagai persediaan,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan dan Bantuan Misi Bencana Banjir oleh 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd. kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.
Seramai 132,955 orang bakal mengundi di Parlimen Padang Serai dan 28,108 pengundi kerusi DUN Tioman selepas proses pengundian di dua kawasan itu ditangguhkan susulan kematian calon yang disahkan bertanding iaitu M. Karupaiya dari Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Padang Serai dan Md. Yunus Ramli mewakili Perikatan Nasional (PN) di DUN Tioman. – UTUSAN