Projek tebatan punca banjir berulang

Projek tebatan punca banjir berulang

JAMILAH Mohamad (kanan) membawa barang berpindah ke PPS kerana trauma dengan banjir berulang tiga kali di Kampung Serongga, Repek Pasir Mas, Kelantan. - UTUSAN/ROHANA ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR MAS: Penduduk Kampung Serongga di sini, perit berdepan dengan masalah banjir berulang setiap tahun tanpa sebarang jalan penyelesaian.

Mereka mendakwa, banjir yang melanda tiga kali di kampung itu sepanjang tahun ini berpunca daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok.

Seorang penduduk, Asraf Ahmad, 24, menggesa pihak berkuasa segera menyelesaikan masalah tersebut dengan menebuk benteng PLSB untuk mengeluarkan limpahan air Sungai Golok.

“Kebiasaannya air banjir tidak masuk ke dalam rumah penduduk. Sejak benteng PLSB dibina, air pasti masuk ke rumah kami apabila hujan lebat.

“Keadaan itu menyebabkan rumah penduduk dinaiki air sehingga kami terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit sepanjang tiga kali banjir yang berlaku tahun ini iaitu pada Februari, bulan lalu dan semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Seorang lagi mangsa banjir di Kampung Serongga, Jamilah Mohamad, 39, berkata, ini kali ketiga dia berdepan banjir dan terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Katanya, situasi itu membuatkan dia trauma setiap kali hujan lebat.

“Saya mengalami kerugian RM20,000 apabila mengalami kemusnahan harta benda ketika banjir pada Februari lalu dan tidak menyangka air boleh mencecah paras bumbung rumah meskipun kawasan kediaman sudah tinggi.

“Trauma dengan banjir yang berlaku, saya berpindah awal kali ini ke PPS. Banyak harta benda penduduk kampung rosak terutama kereta dan motosikal. Mereka meletakkan kenderaan di pekarangan rumah saya yang sememangnya menjadi lokasi selamat, namun tetap tenggelam pada Februari lalu,” ujarnya.

Jamilah berkata, pembinaan benteng PLSB dikatakan mampu mengatasi banjir, sebaliknya ia menyusahkan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya