Program Miracle Baby beri manfaat kepada kanak-kanak pesakit jantung berlubang, kongenital - Utusan Malaysia

Program Miracle Baby beri manfaat kepada kanak-kanak pesakit jantung berlubang, kongenital

DR. MA'AROF Sudin (kiri) bersama para pesakit yang menerima manfaat menerusi program Miracle Baby di Auditorium HPP, Georgetown, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Program Miracle Baby yang dilancarkan secara rasmi di Hospital Pulau Pinang (HPP) hari ini bakal memberi manfaat kepada kanak-kanak tempatan yang menghidap penyakit jantung berlubang dan kongenital.

Menerusi program itu, pembedahan dapat dijalankan dengan kos minimum serta membolehkan pemindahan pengetahuan, kepakaran, kemahiran serta latihan kepada pakar-pakar dan paramedik di Kementerian Kesihatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, program Miracle Baby itu merupakan hasil kerjasama strategik di antara Kementerian Kesihatan, Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) dan Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH), India bagi membolehkan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak kompleks dijalankan di HPP.

“Kerjasama strategik ini bertujuan menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kompleks kanak-kanak yang berkualiti.

”Melalui program ini, pakar-pakar jantung di HPP akan bekerjasama dengan pasukan pembedahan dari SSSSH India untuk melakukan pembedahan jantung, manakala pihak UTAR pula bertindak menyelaraskan urusan logistik dengan bantuan dan sokongan orang awam,” katanya dalam ucapan secara rakaman video di Auditorium HPP, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi UTAR, Tan Sri Dr. Sak Cheng Lum dan Pengerusi SSSSH, Dr. Sreenivas Chodagam.

Menurut Noor Hisham, program rintis itu bermula pada 28 November lalu dan sedang berlangsung selama dua minggu yang mana sehingga hari ini, seramai 12 pesakit termasuk tiga dari Sabah dihantar ke HPP untuk menjalani rawatan.

“Sebelum ini pihak kementerian juga telah menaja pesakit-pesakit untuk menjalani rawatan pembedahan di luar negara dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan dari dalam dan luar negara untuk menangani masalah kekangan slot rawatan pembedahan di Malaysia.

”Bagi memastikan kelestarian perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak di negara ini, pihak pengurusan kementerian, SSSSH dan UTAR bersetuju meneruskan misi kemanusiaan bagi membantu kanak-kanak kurang bernasib baik dan memerlukan rawatan pembedahan jantung melalui program Miracle Baby,” katanya.

Tambahnya, aktiviti itu juga diharap dapat memangkin hasrat kementerian memulakan perkhidmatan pembedahan jantung kanak-kanak dalam skala lebih besar di Hospital Seberang Jaya, dekat sini yang dijangka siap tahun depan.

”Kementerian Kesihatan mengalu-alukan kerjasama dengan pihak UTAR dan SSSSH dalam program Miracle Baby ini untuk jangka masa panjang dengan menjemput pakar-pakar dari SSSSH India ke Malaysia secara berkala.

“Objektif utamanya ialah berkongsi kepakaran pembedahan jantung dengan menjalankan pembedahan untuk 15 hingga 20 orang kanak-kanak bagi setiap lawatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya