ALOR GAJAH: Bahana seekor babi yang tiba-tiba melintas jalan, nyawa lima sekawan hampir melayang selepas kereta jenis Proton Preve dinaiki mereka terbabas semasa cuba mengelak haiwan itu dalam kejadian di Jalan Melaka Pindah di sini, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu memaklumkan, mangsa terlibat ialah Muhammad Nur Hakim Mazlan, Amirul Syahmi Mansor, Muhammad Zulheree Ismail, Mohd. Syarafuddin Suharman dan Khairul Izwan Khairul Azhar yang kesemuanya berusia 22 tahun.
Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari itu, kesemua mereka bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan pada bahagian tangan, kaki, muka dan kepala.
Jelasnya, mangsa dalam perjalanan dari A’Famosa Resort, Simpang Ampat menuju ke Krubong dan akibat nahas itu kereta dinaiki mereka telah melanggar tiang elektrik serta penghadang jalan, lalu masuk ke dalam longkang.
“Hasil temu bual pemandu kereta dan semua penumpang di lokasi kejadian, kemalangan berlaku apabila mereka dalam perjalanan dari A’Famosa hendak ke Krubong.
“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu nampak seekor binatang dipercayai babi melintas di hadapan lalu cuba membrek dan mengelak, disebabkan permukaan jalan basah dan licin, kereta itu terus terbabas ke kiri jalan.
“Kereta berkenaan telah melanggar tiang elektrik serta penghadang jalan lalu terus masuk ke dalam longkang. Kesemua yang terlibat selamat dikeluarkan oleh bomba dan dibawa ke Hospital Alor Gajah menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambah Arshad, kenderaan terlibat telah diserahkan kepada pemilik iaitu waris pemandu kereta berkenaan selepas selesai membuat laporan di Balai Polis Trafik Alor Gajah. – UTUSAN