APABILA bertebaran sebuah video gurauan atau ‘prank’ melibatkan seorang wanita dan Orang Kurang Upaya (OKU) di media sosial, baru-baru ini, ramai kalangan pengguna dan masyarakat bangkit meluahkan perasaan kurang senang.
Apatah lagi, tindakan pempengaruh yang dilihat tiba-tiba ‘melumurkan’ sebiji kek ke wajah wanita terbabit disifatkan sangat biadab.
Lebih menjengkelkan, bahan kandungan seperti itu dihasilkan kononnya untuk tujuan eksperimen sosial, manakala individu terbabit difahamkan telah dibayar semata-mata untuk meraih perhatian netizen.
Harus diakui, perbuatan ‘prank’ tidak bersesuaian dengan budaya kita. Sama ada untuk tujuan gurauan atau kesedaran sosial, cara seperti itu tidak mudah diterima ramai, apatah lagi jika ia dilakukan keterlaluan.
Seperkara yang menghairankan, ramai dalam kalangan pempengaruh atau selebriti media sosial seakan-akan telah dipasak dengan ideologi ‘mesti kena tular’ atau ‘tular itu bagus’.
Hakikatnya, tidak semua bahan kandungan yang tular di internet mampu ditonton atau dinilai dari sudut positif. Berikut pandangan beberapa selebriti yang turut tidak bersetuju dengan budaya ‘prank’ ini.
Mereka tiada ilmu, ketandusan idea – Zed Zaidi
PRESIDEN Seniman, Zed Zaidi berpendapat, kebanyakan pencipta kandungan media sosial melampau ini sebenarnya kekeringan idea dan terikut-ikut budaya luar sehingga lupa sensitiviti dan nilai harga diri.
Jelasnya, banyak kandungan media sosial luar negara tidak selari dengan budaya tempatan dan sebagai pencipta kandungan, isu yang melanggar sensitiviti masyarakat perlu dielakkan supaya tidak kelihatan bodoh.
“Bagi saya, prank keterlaluan ini disebabkan mereka tiada idea dan terikut-ikut dengan budaya luar. Kadang-kadang, apa yang dipaparkan tidak kena dengan nilai budaya dan adat kita.
“Banyak lagi kandungan lebih kreatif boleh dicipta. Buatlah sesuatu yang bukan sahaja mendatangkan manfaat kepada masyarakat, tetapi turut memberi impak positif kepada diri.
“Jangan hanya mahu kejar jumlah tontonan dan populariti sampai lupa dengan adat, budaya dan harga diri,” katanya.
Dalam pada itu, Zed berkata, industri seni tidak memerlukan pencipta kandungan media sosial melampau yang tidak dapat membezakan mana baik dan buruk.
Jelasnya, ramai lagi pencipta kandungan yang bijak dan seharusnya diberi peluang mengembangkan bakat, bukan mereka yang menjatuhkan industri seni dengan pengisian kandungan tidak senonoh.
“Kita perlukan mereka yang bijak dan mempunyai idea di luar kotak. Biarlah mereka yang masuk industri ada ilmu supaya boleh memberi manfaat kepada orang lain.
“Kalau sekadar mahu kejar views dan pengikut, tidak perlu tawarkan mereka untuk masuk dunia seni. Kita ada sistem, kalau tidak kita akan lahirkan bakat tidak cerdik. Kita mahu mereka yang bijak, hasilkan kandungan bermaruah dan mendidik rakyat,” ujarnya.
Elak tengok, bagi reaksi – Fauziah Nawi
PELAKON veteran, Fauziah Nawi menolak sekeras-kerasnya lakonan bersifat prank yang dipertontonkan di media sosial, terutama melibatkan perlakuan biadab dan tidak bermoral.
Bagaimanapun katanya, sukar untuk mencegah perkara sebegitu daripada tular di media sosial sekiranya masih ditonton dan mendapat reaksi netizen.
“Saya tidak suka kandungan seperti ini yang pada saya, sangat tidak bermoral. Saya sensitif dan tidak boleh menerimanya.
“Aktiviti prank bukan budaya kita. Tetapi, selagi ada dalam kalangan kita yang menonton dan memberikan reaksi, selagi itu ia akan menjadi trend serta ikutan ramai,” katanya.
Tambah Fauziah, dia kesal apabila ada pihak sanggup menipu, malah menjadikan kandungan prank sebagai lakonan semata-mata, meskipun tahu impaknya terlalu besar kepada masyarakat.
“Menjadi masalah besar apabila ada pempengaruh mengambil jalan mudah untuk menjana pendapatan dengan menghasilkan kandungan prank. Pada saya mudah, elakkan daripada menonton atau memberi sebarang reaksi kepada kandungan seperti ini.
“Walaupun sukar, ini sahaja cara paling berkesan untuk menghalang kandungan seperti ini terus dihasilkan dan dipertontonkan kepada umum,” tegasnya.
Banyak pengaruh buruk – Sharifah Amani
PELAKON, Sharifah Amani berharap, netizen tidak memberi perhatian kepada kandungan bersifat prank atau menipu di media sosial.
Katanya, kandungan jenis itu tidak membawa apa-apa manfaat, sebaliknya menghadirkan pengaruh buruk kepada penonton.
“Khalayak punya kebebasan untuk menonton kandungan di media sosial. Mereka juga boleh memilih kandungan bermanfaat dan membawa kebaikan.
“Video prank banyak dipertontonkan di platform tersebut. Banyak yang membawa pengaruh dan kesan negatif.
“Semua ini bergantung kepada kebijaksanaan kita. Kalau kita beri perhatian atau reaksi kepada kandungan negatif, maka kesannya juga buruk untuk diri kita,” katanya.
Dalam pada itu, Sharifah Amani juga berpendapat, budaya prank tidak seharusnya dinormalisasikan oleh masyarakat dan sebaiknya ditegah daripada berleluasa.
“Budaya prank ini datang dari Barat dan dibawa masuk ke negara kita oleh pihak yang dahagakan perhatian untuk kepentingan mereka.
“Jadi, seelok-eloknya tidak perlu kita terikut-ikut budaya ini kerana ia hanya mendatangkan keburukan,” tambahnya.
Akal yang cerdik pasti boleh menilai – Namie
SEBAGAI pelawak dan selebriti media sosial, Najmi Shaharudin, 26, menganggap setiap manusia yang memiliki akal sihat seharusnya boleh berfikir dengan waras, terutama dalam membezakan perkara buruk dan baik.
Malah, katanya yang lebih dikenali sebagai Namie, budaya mengenakan orang lain atau prank mungkin tidak kena dengan cara orang kita yang masih menjunjung adab ketimuran.
“Pemilihan bahan kandungan untuk dikongsi datang daripada keputusan kita. Kalau kita punya akal yang cerdik, kita boleh tahu apakah kesan sesuatu perbuatan itu.
“Kalau ada pengguna media sosial atau pempengaruh yang membuat bahan kandungan keterlaluan, dia kena tanggung akibatnya.
“Secara peribadi, saya tidak setuju dengan tindakan segelintir pembikin kandungan untuk media sosial yang tidak bijak menjaga sensitiviti. Banyak lagi modal lain boleh dijadikan bahan kandungan,” katanya.
Anggota kumpulan Ubi itu juga berkata, sebagai selebriti yang turut menghasilkan pengisian kandungan di media sosial, dia amat berhati-hati sebelum membuat perkongsian. Ini kerana kata Namie, itu merupakan punca rezeki dan tempatnya mencari makan.
“Memang saya jaga dan seboleh-bolehnya tidak mahu menghasilkan kandungan melampau. Itu tempat kita cari makan dan tentu saya tidak mahu bahan yang dimuat naik memakan diri sendiri.
“Sebelum buat apa-apa, saya fikir dulu, okey atau tidak. Buat masa sekarang, saya masih mengekalkan kandungan berbentuk soal jawab dan interaksi bersama pengikut, selain parodi,” katanya.
Namie juga tidak menolak, sesetengah pempengaruh terlalu teruja untuk mencipta fenomena tular di dunia maya sehingga tergamak mengetepikan soal sensitiviti.
“Mungkin mereka fikir, itu jalan pintas untuk mendapat perhatian apabila tular. Saya lebih selesa bermula dari bawah. Kalau percubaan tidak menjadi, saya akan berusaha lagi,” katanya.