KUALA TERENGGANU : Polis Terengganu berjaya menumpaskan sindiket pengedaran rokok seludup selepas merampas sebanyak 563 karton rokok pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM23,000 dalam satu serbuan di sini, semalam.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Wan Rukman Wan Hassan berkata, rampasan itu hasil serbuan sepasukan polis daripada cawangan siasatan khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah di Taman Desa Pusu 3 di Jalan Gong Badak di sini pada pukul 3.30 pagi.
Menurutnya, dalam serbuan tersebut, polis turut menangkap seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun yang bekerja sebagai peniaga kedai runcit.
“Hasil semakan mendapati lelaki tersebut mempunyai dua rekod jenayah lampau yang melibatkan kesalahan jenayah narkotik.
“Modus operandi suspek ialah membeli rokok seludup daripada pembekal dan disimpan di dalam rumah kedai tersebut sebelum menjualnya semula di kedai runcit miliknya.
“Ketika ini, siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti sindiket pengedaran rokok tersebut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan memiliki rokok seludup yang memperuntukkan hukuman denda maksimum 10 kali ganda nilai atau RM100,000.
“Suspek kini ditahan reman selama 12 hari untuk siasatan lanjut bermula semalam hingga 23 Disember depan,” katanya. – UTUSAN