KUALA NERUS: Polis Terengganu telah membuka kertas siasatan berhubung sebuah video tular yang mendakwa Jambatan Manir di Kuala Terengganu dekat sini akan runtuh pada tiga hari lalu.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa, berkata, ia susulan satu laporan polis yang dibuat oleh seorang anggota polis trafik, petang semalam, selain turut mencetus kegusaran orang awam.
Menurut beliau, rakaman klip video di media sosial TikTok itu mengakibatkan pengguna jalan raya menggunakan jalan alternatif seterusnya menyebabkan aliran lalu lintas terganggu.
“Video berkenaan telah tular di media sosial yang menyatakan Jambatan Manir dalam keadaan bahaya dan mungkin akan runtuh selain menyeru orang ramai menggunakan jalan lain.
“Walaupun tidak memburukkan mana-mana agensi tetapi ianya mencetuskan keresahan masyarakat. Ini adalah dakwaan yang tidak benar dan tidak mendapat pengesahan pihak berkuasa.
“Seperti selalu ditekankan, kami akan mengambil tindakan tegas mengenai isu berita palsu,” katanya ketika meninjau pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak, di sini, hari ini.
Rohami turut memberitahu, pengendali akaun TikTok terbabit sudah pun dikenalpasti dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan mengambil tindakan susulan termasuk mengambil keterangan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan atas kesalahan penyebaran berita yang menimbulkan ketakutan awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. – UTUSAN