Polis rancang kemudahan dapur bergerak di lokasi banjir

Polis rancang kemudahan dapur bergerak di lokasi banjir

HAZANI Ghazali berucap pada majlis penyerahan sumbangan dan bantuan bencana banjir daripada 7-Eleven Malaysia di Markas Operasi Pasukan Polis Marin Putrajaya. - UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan kemudahan dapur bergerak di lokasi-lokasi bencana banjir di seluruh negara khususnya ketika tempoh pasca banjir.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, berdasarkan pengalaman banjir sebelum ini, mangsa kerap berdepan dengan masalah untuk mendapatkan sumber makanan bersih.

Justeru, katanya, pihaknya bersedia menyediakan sumber makanan itu yang akan dikendalikan anggota dan kakitangan polis.

“Berdasarkan pengalaman banjir di Lembah Klang tahun lalu, kami dapati mangsa banjir sukar mendapatkan bekalan makanan yang elok dan selamat.

“Ketika banjir di Hulu Langat itu, makanan yang dihantar oleh badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta ada yang basi dan tidak selamat untuk dimakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Sumbangan dan Bantuan Misi Bencana Banjir oleh 7-Eleven Malaysia Sdn. Bhd. kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), di sini hari ini.

Katanya, pihaknya mengalu-alukan mana-mana pihak di luar sana termasuk syarikat korporat yang mahu menyediakan kemudahan dapur bergerak.

Dalam perkembangan sama, Hazani berkata, pihaknya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada tempoh pasca banjir di seluruh negara yang diramalkan sehingga Mac 2023.

Menurutnya, empat negeri yang sering terjejas teruk dilanda banjir besar akan diberi keutamaan iaitu Terengganu, Kelantan, Pahang dan Johor.

“Kali ini kita sudah bersiap menghadapi bencana banjir dan hampir 70,000 anggota campuran agensi penguatkuasaan termasuk Angkatan Tentera Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam sedia dikerah bila-bila masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya