Polis buru lima rakan subahat penjenayah mati ditembak - Utusan Malaysia

Polis buru lima rakan subahat penjenayah mati ditembak

SALAH seorang suspek yang ditembak mati polis di Jalan Jeniang-Kalai, Gurun di Sungai Petani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Polis memburu lima lagi lelaki disyaki rakan subahat kepada dua penjenayah yang ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di Jalan Jeniang-Kalai, Gurun di sini pada Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, pihaknya telah mengenal pasti individu terlibat dan yakin penangkapan suspek boleh menyelesaikan 16 kes samun di daerah Kuala Muda.

“Berdasarkan siasatan terhadap latar belakang dan modus operandi, mereka disyaki terlibat dalam kes samun di daerah ini dan juga di daerah lain.

“Kita percaya risikan dan operasi memburu individu itu oleh anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah (IPK) akan melumpuhkan kumpulan penjenayah ini,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, kumpulan itu dipercayai terlibat dalam kes menceroboh dan menyamun seorang warga emas di Sidam Kiri di sini pada awal bulan ini yang membabitkan kerugian lebih RM80,000.

Tambahnya, kumpulan dianggotai kira-kira tujuh orang itu akan melakukan samun menggunakan parang dan menyasarkan pesara serta orang tua yang berduit.

Utusan Malaysia semalam melaporkan polis tidak menolak kemungkinan dua lelaki yang mati dalam kejadian berbalas tembakan itu terlibat dalam kes samun bersiri ke atas warga emas di beberapa daerah, di sini sejak Mac lalu.

Insiden pada pukul 11 malam itu mengakibatkan dua lelaki berusia 48 dan 61 tahun itu mati di lokasi kejadian. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya