PM yakin dapat sokongan dua pertiga

PM yakin dapat sokongan dua pertiga, Kerajaan Perpaduan tidak tergugat

ANWAR Ibrahim selepas mempengerusikan Mesyuarat Kabinet di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. - FOTO/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin beliau mendapat sokongan dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat dalam sidang khas Parlimen Isnin ini.

Perdana Menteri berkata, ke­yakinan itu berdasarkan ko­mit­men yang diberikan ketua-ketua parti seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta Warisan.

Justeru, beliau yakin akan dapat meneruskan pentadbiran kerajaan dengan baik daripada sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen menerusi usul undi percaya menjelang Sidang Khas Parlimen yang diusulkan sendiri Anwar selepas dilantik Perdana Menteri.

Kata beliau, ini termasuk so­kongan daripada parti-parti lain dan kesemua mereka diyaki­ni dapat meneruskan kebersama­an yang baik dengan beliau.

“Ketua-ketua parti PH, BN, GPS, GRS, Warisan dan beberapa parti telah beri komitmen dan insya-Allah kita akan teruskan dengan baik. Saya minta saudari (wartawan) doakan sebaiknya,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Kabinet di sini semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai keyakinan untuk mendapat usul undi percaya dengan majoriti dua pertiga menjelang Sidang Khas Parlimen pada Isnin ini.

Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Ke-15 itu akan berlangsung selama dua hari dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri.

Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat, Dr. Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.

Aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Usul undi percaya terhadap kepemimpinan Perdana Menteri akan menjadi tumpuan terkandung pada nombor lapan di bawah aturan urusan mesyuarat.

Anwar pada sidang akhbar pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10 menegaskan akan membentangkan usul undi percaya bagi membuktikan keabsahannya sebagai Perdana Menteri.

Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, langkah itu penting bagi membuktikan keabsahan beliau dari segi persepsi politik, selain penafsiran dalam Perlembagaan Persekutuan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung isu pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji akan mengadakan mesyuarat seterusnya pada bulan depan.

Beliau diberi taklimat dan laporan mengenai perkembangan terkini mengenai RCI Tabung Haji pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Saya diberi taklimat oleh Pengerusinya, Mohamed Raus Sharif dan beliau memaklumkan perbincangan akan disambung pada Januari ini.

“Ia berkait tentang masalah-masalah yang berlaku dalam Tabung Haji dan cadangan-cadangan untuk memperbaiki pengurusannya,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menubuhkan RCI susulan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 14 Julai 2021 dan 8 Oktober 2021.

RCI itu ditubuhkan bagi melaksanakan siasatan dan menyediakan laporan untuk dipersembah kepada Seri Paduka dalam tempoh enam bulan selepas penubuhannya iaitu berkait isu-isu pengurusan dan operasi TH, bermula 2014 sehingga 2020.

Selain Mohamed Raus, lima lagi ahli yang dilantik dalam RCI itu termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman; Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan Tan Sri Mohd Munir Abdul Majid yang juga bekas Pengerusi Bank Muamalat Malaysia Berhad. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya