ALOR GAJAH: Hati ibu bapa mana yang tidak sedih melihat anak lelakinya terlantar atas katil hampir 10 bulan selepas terlibat kemalangan jalan raya di Jasin dekat sini, Mac tahun lalu.
Mohammad Taha Mohd. Dom, 62, dan isterinya, Faridah Yusop, 40, dari Kampung Kuala Sungga, Tebong di sini tabah menjaga anak ketiga daripada empat beradik, Muhammad Haikal, 20, yang kini hilang upaya untuk bergerak dan bercakap.
Muhammad Haikal yang sebelum ini bekerja sebagai jurukimpal terbabit nahas apabila motosikal ditunggangnya berlanggar dengan sebuah kereta semasa dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerja.
Impak kemalangan, dia mengalami pendarahan di kepala, patah tulang rahang, patah paha kiri dan luka anggota badan hingga menyebabkannya terlantar sehingga kini.
Mohammad Taha berkata, mereka sekeluarga redha dengan ketentuan Ilahi yang menimpa, namun kekal berharap Muhammad Haikal dapat sembuh seperti sedia kala.
“Hati ibu bapa mana yang tidak tersentuh melihat anak terlantar sudah hampir 10 bulan tidak bergerak-gerak. Sedih sebenarnya melihat keadaan anak saya serta runsing mengenang nasib dia, dalam usia muda terpaksa menghadapi nasib begitu.
“Apa yang merunsingkan saya tentang nasib pada masa akan datang. Selagi kami masih hidup, saya akan jaga dia dan berharap Allah makbulkan doa kami agar dia dapat pulih seperti sedia kala, sebelum kami menutup mata,” katanya ketika ditemui pemberita.
Mohammad Taha mewakili anaknya menerima cek Faedah Hilang Upaya Kekal berjumlah RM64,745 daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Ngwee Hee Sam serta dihadiri Pengarah Perkeso Melaka, Abdul Razak Omar.
Tambah Muhammad Taha, bantuan yang diterima akan digunakan untuk membeli susu, lampin pakai buang dan kos ambulans bagi membawa anaknya mendapatkan rawatan susulan di Hospital Melaka serta rawatan fisioterapi di Tampin, Negeri Sembilan. – UTUSAN