MELAKA: Penduduk di Kampung Portugis, Ujong Pasir di sini ada yang menitiskan air mata, malah rata-rata mereka melahirkan rasa kecewa selepas Portugal gagal ke separuh akhir Piala Dunia 2022.
Kekalahan mengejut Portugal kepada Maghribi 0-1 hasil jaringan Youssef En-Nesyri pada minit ke-42 seperti tidak dapat diterima penduduk di situ.
Kira-kira 300 penduduk Kampung Portugis memenuhi sebuah restoran yang menyediakan layar gergasi bagi menyaksikan perlawanan tersebut, menjadi sunyi sepi apabila pasukan pilihan mereka ketinggalan 0-1 hingga tamat perlawanan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk, Simon Bueanaventura berkata, dia langsung tidak menyangka Portugal disingkirkan oleh pasukan yang dilihat tidak berpotensi untuk mara ke separuh akhir.
“Sebelum perlawanan saya meramalkan Portugal bakal layak ke separuh akhir dan final tetapi hakikat terpaksa diterima, Maghribi bermain lebih bagus serta berhak menang perlawanan.
“Saya fikir jika Cristiano Ronaldo diturunkan beraksi sepenuh masa mungkin nasib Portugal boleh berubah untuk layak ke separuh akhir,” katanya ketika ditemui.
Seorang lagi penduduk, Shean Emanuel Lazaro berkata, secara peribadi dia tidak dapat menerima kekalahan memalukan itu kepada pasukan bukan bertaraf pilihan seperti Maghribi.
“Sangat mengecewakan dengan corak permainan Portugal jauh daripada kemampuan sebenar. Mereka sepatutnya bermain lebih baik ketika menewaskan Uruguay, namun dalam perlawanan ini mereka bermain tidak seperti biasa.
“Bagaimanapun saya kagum dengan tahap persembahan Maghribi yang bermain lebih tersusun dan kemas berbanding Portugal. Saya tidak menolak pasukan dari benua Afrika itu mampu melakar kejutan dan tidak mustahil mampu mara ke perlawanan akhir,” katanya. – UTUSAN