SHAH ALAM: Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor tiada halangan dan menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan menteri dan timbalan menteri dalam Kerajaan Perpaduan.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, beliau yakin individu yang dilantik Perdana Menteri di dua jawatan tersebut berdasarkan kemampuan mereka.
“Saya yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri memilih kesemua mereka ini,” katanya selepas menghadiri majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Worldwide Holdings dengan Dynac Sdn. Bhd. bagi pembinaan projek bekalan kuasa untuk Cyberjaya di DoubleTree by Hilton Shah Alam I-City, di sini, semalam.
Ditanya mengenai hanya tiga ahli Parlimen PH Selangor sahaja dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri dalam Kerajaan Perpaduan kali ini, Amirudin memaklumkan, kebanyakan Menteri dan Timbalan Menteri dilantik pada kali ini adalah mereka yang memulakan politik mereka di Selangor.
Menurutnya, Menteri Pendidikan, Fadlina Sidek dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim memulakan karier politik mereka di Selangor.
“Bagi saya, Mohamad Sabu dan Rafizi Ramli dilantik di kementerian yang begitu penting bagi Kerajaan Malaysia.
“Apa yang penting ketika ini adalah kualiti mereka (orang politik) bagi menjawat jawatan Menteri dan bukannya jumlah Menteri (dalam Kerajaan Malaysia),” tegasnya.
Semalam, Anwar mengumumkan senarai Ahli Parlimen yang dilantik sebagai Timbalan Menteri.
Namun Ahli Parlimen Sepang, Aiman Athirah Sabu sahaja dari Selangor yang dilantik sebagai Timbalan Menteri untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. – UTUSAN