TERKENAL sebagai Permata Kedah, Pulau Langkawi meriah dengan pelbagai acara pelancongan sepanjang bulan ini sempena cuti persekolahan.
Antaranya Pesta Bendang anjuran Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) selama tiga hari bertempat di Laman Padi, Langkawi, baru-baru ini.
Pelbagai acara dipertandingkan antaranya bola sepak bendang, bola jaring bendang, sepak raga ribu, sukan rakyat dan pelbagai lagi permainan termasuk kerusi muzik yang disertai kanak-kanak.
Tidak terhad hanya kepada penduduk tempatan, pengunjung luar dapat menyertai semua aktiviti itu secara percuma selain merebut hadiah cabutan bertuah yang disediakan sepanjang Pesta Bendang berkenaan.
Program itu juga bertujuan mengangkat elemen budaya dan keunikan Laman Padi itu sendiri sebagai produk agro pelancongan Langkawi yang wajib dikunjungi pelancong. – UTUSAN