Peserta PEH mampu jana RM292.80 satu pusingan

Peserta PEH mampu jana RM292.80 satu pusingan

MOHD Shukri Ramli (kiri) membuat gimik simbolik Pelancaran Projek Pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik (PEH) Jabatan Pertanian Negeri Perlis Tahun 2022 di Kompleks Pertanian Bukit Temiang, Padang Besar, Perlis hari ini.- UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Peserta Projek Pertanian Pemacu Ekonomi Hidroponik (PEH) mampu menjana sehingga RM292.80 menerusi penghasilan sebanyak 73.2 kilogram sayuran sawi bagi satu pusingan.

Bagi fasa pertama pelaksanaan projek ini, seramai 125 peserta dipilih daripada 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis dengan memberi keutamaan kepada golongan asnaf, B40 dan belia berusia 18 tahun sehingga 40 tahun. 

Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, projek yang dilaksanakan ini juga merupakan perintis dan diharapkan mampu memberikan impak positif agar pelaksanaannya dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

“Projek ini diselaraskan oleh Jabatan Pertanian negeri setelah kerajaan negeri menerima peruntukan di bawah Projek Jaminan Bekalan Makanan, Pelancongan, Pemeliharaan dan Pemuliharaan Alam Sekitar berjumlah RM750,000 bagi fasa pertama ini.

“Hasil jualan menerusi projek ini juga diharapkan dapat digunakan oleh peserta untuk dijadikan modal permulaan bagi pusingan tanaman berikutnya,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran PEH Jabatan Pertanian Negeri Perlis Tahun 2022 di Kompleks Pertanian Bukit Temiang di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Shukri berkata, seramai 14 usahawan pemasar juga telah dilantik bagi membantu peserta program ini untuk mengumpul dan memasarkan hasil pertanian mereka.

“Di bawah program sama, jabatan juga menyediakan pemberian insentif berbentuk bantuan peralatan yang disediakan kepada individu dilantik sebagai usahawan pemasar dengan melibatkan perbelanjaan sebanyak RM3,720 bagi setiap seorang,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shukri berkata, sistem penanaman secara hidroponik boleh diusahakan oleh peserta sebanyak 10 pusingan tanaman dalam tempoh satu tahun dan pendapatan yang diperolehi dapat menjimatkan 20 peratus perbelanjaan dapur isi rumah setiap bulan. 

Tambahnya, Jabatan Pertanian negeri turut mensasarkan keseluruhan projek PEH yang diusahakan ini akan mengeluarkan hasil sayuran berdaun sebanyak 9.15 metrik tan bagi setiap satu pusingan tanaman dengan nilai pengeluaran sebanyak RM 36,600.

“Manakala bagi 10 pusingan tanaman, sebanyak 91.5 metrik tan hasil sayuran berdaun disasarkan akan dapat dikeluarkan dengan keseluruhan nilai pengeluaran sebanyak RM366,000 dalam tempoh setahun,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya