Pesakit jantung berlubang selamat jalani pembedahan menerusi program Miracle Baby - Utusan Malaysia

Pesakit jantung berlubang selamat jalani pembedahan menerusi program Miracle Baby

PESAKIT jantung berlubang Eisya Marzuki, 16, (dua dari kanan) dan Iris Sim Jia Xin, 8, (tiga dari kanan) yang selamat menjalani pembedahan di Hospital Pulau Pinang (HPP) menerusi program Miracle Baby.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pesakit jantung berlubang, Eisya Marzuki, 16, yang selamat menjalani pembedahan jantung pada 30 November lalu menerusi program Miracle Baby tidak sabar untuk kembali ke sekolah bagi menjalani kehidupan sebagai remaja aktif semula.

Eisya merupakan antara pesakit yang menerima manfaat menerusi program Miracle Baby, hasil kerjasama strategik di antara Kementerian Kesihatan, Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) dan Hospital Sri Sathya Sai Sanjeevani (SSSSH), India.

Eisya berkata, dia telah dibenarkan keluar dari Hospital Pulau Pinang (HPP) pada Isnin lalu selepas lapan hari berada di wad dan sedang menjalani proses pemulihan pada masa ini.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada doktor termasuk dari SSSSH, India yang telah merawat saya sepanjang di HPP.

”Pada masa ini, saya ingin segera ke sekolah bagi meneruskan sesi pembelajaran bersama rakan-rakan dan guru, namun saya perlu pastikan saya pulih sepenuhnya dahulu,” katanya ketika ditemui di HPP, di sini hari ini.

Program Miracle Baby yang dilancarkan secara rasmi di HPP hari ini merupakan kerjasama strategik Kementerian Kesihatan, UTAR dan SSSSH, India bertujuan menyediakan perkhidmatan pembedahan jantung kompleks kanak-kanak yang berkualiti.

Dalam pada itu, ibu Eisya, Siti Nor Azidah Mohd. Hamzah, 41, berkata, anak sulungnya itu mempunyai masalah jantung sejak kecil, namun pada 2014 semakin serius dan doktor menyarankan supaya menjalani pembedahan.

”Sebelum ini ketika bayi, Eisya ada masalah jantung berdegup laju, namun lama-kelamaan penyakit jantung berlubang yang dihidapinya semakin serius sehingga perlu dibedah.

”Eisya bernasib baik kerana terpilih untuk mendapatkan rawatan menerusi program Miracle Baby dan tempoh dia menunggu untuk menjalani pembedahan juga tidak lama iaitu sekitar dua bulan sahaja,” katanya.

Tambahnya, Eisya perlu menjalani tempoh pemulihan selama enam minggu dan dia masih tidak boleh ke sekolah sehingga pulih sepenuhnya.

Sementara itu, ibu kanak-kanak yang menerima manfaat program Miracle Baby, Yap Hooi Mui, 36, berkata, anak bongsunya, Iris Sim Jia Xin, 8, selamat menjalani pembedahan jantung pada 28 November lalu dan kini sedang menjalani rawatan pemulihan.

”Selepas dibedah, anak saya semakin aktif dan saya sangat bersyukur kerana program Miracle Baby ini diperkenalkan Kementerian Kesihatan memandangkan ia membantu ibu bapa dan kanak-kanak yang menghidap penyakit ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya