Perniagaan bapa gulung tikar, empat beradik sepakat buka kedai cendol - Utusan Malaysia

Perniagaan bapa gulung tikar, empat beradik sepakat buka kedai cendol

BADIHAH Mohamad Khair bersama adiknya, Mohamad Bazli menunjukkan cendol Ibnu Khair yang diilhamkan hasil sepakat bersama dua lagi adik-beradik mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sepakat empat beradik membuka perniagaan cendol menggantikan perniagaan bapa mereka yang terpaksa ditutup ketika pandemik Covid-19 melanda negara ternyata berbaloi.

Badihah Mohamad Khair, 25, berkata, tidak dinafikan pada bulan pertama kedai itu dibuka, mereka tidak menang tangan melayan pelanggan yang hadir dari pagi hingga ke malam.

Katanya, kedai di Bandar Penawar yang dibuka setiap hari bermula pukul 10.30 pagi hingga 9 malam itu pernah meraih jualan lebih 20,000 mangkuk cendol bagi pengoperasian bulan pertama.

“Kami empat beradik sepakat mengeluarkan modal kira-kira RM50,000 untuk membuka kedai cendol Ibnu Khair ini. Kebanyakannya saya dan juga adik, Mohamad Bazli, 23 yang jalankan pengoperasian di kedai kerana abang, Dhoifullah, 26 dan adik, Ashrofuddin, 19, bekerja.

“Sebenarnya kami sebelum ini ada menjalankan perniagaan kuih sejuk beku yang diusahakan ayah, Mohamad Khair Mashood, 62, di Kampung Baru Sungai Mas. Lapan tahun ayah bersama ibu, Rosnila One @ Onn, 53, buat perniagaan itu sebelum adik-beradik sambung selama enam tahun.

“Keadaan berubah bila pandemik berlaku, harga tepung, bahan-bahan mentah semuanya naik mendadak sehingga kami tidak mampu menampung kos. Jadi ketika itu kami terpaksa menjual semua barang-barang, menutup perniagaan bapa dan bekerja makan gaji,” katanya ketika ditemui di sini.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata, idea membuka kedai cendol Ibnu Khair itu terhasil selepas mendapati kawasan di Bandar Penawar tidak mempunyai kedai yang menjual cendol.

Katanya kebanyakan peniaga cendol menjual di bawah khemah atau menggunakan bonet kereta dan tiada yang menjualnya di kedai khas.

“Kami adik-beradik kemudian berpakat, minta izin ayah untuk buka kedai ini kerana jiwa kami adalah untuk berniaga. Pada awalnya memang ada tentangan kerana ayah fikirkan kos yang mahal kerana menyewa kedai dan sebagainya.

“Namun setelah melihat pengoperasian kedai, mereka gembira dengan keputusan kami. Bahkan nama kedai ini cendol Ibnu Khair juga yang bermaksud cendol anak Khair adalah untuk orang tua kami.

“Logo kami juga memaparkan gambar ayah sebagai tarikan di kedai ini selain sebagai penghargaan atas jasa ayah yang selama ini membesarkan kami,” katanya.

Katanya, menariknya di kedai cendol mereka yang turut dikenali sebagai ‘cendol putih’ menawarkan pelbagai perasa dengan harga bermula RM6 boleh dinikmati untuk lebih seorang bagi satu hidangan.

Tambahnya, selain cendol turut dijual adalah mi laksa, rojak sebagai makanan sampingan.

“Melihat kepada sambutan baik daripada pelanggan, kami berhasrat untuk membuka cawangan lain terutama di kawasan bandar seperti di Pasir Gudang dan Johor Bahru,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya