KUALA TERENGGANU: Harga sayur-sayuran di Terengganu terus naik mendadak disebabkan permintaan yang tinggi sedangkan bekalannya masih tidak mencukupi disebabkan banjir yang melanda beberapa negeri pada minggu ini.
Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar di sekitar daerah ini mendapati, kebanyakan harga sayur naik sekali ganda antaranya bayam, sawi, tomato, kacang panjang, daun sup dan daun ketumbar.
Peniaga yang ditemui mengakui mereka terpaksa menjual harga lebih tinggi kerana harga diperoleh dari pemborong juga sudah mahal.
Seorang peniaga di Pasar Chabang Tiga di sini, Mohd. Yazid Ibrahim, 56, berkata, dia serba salah mahu menjual sayur-sayuran itu kerana bersimpati dengan pelanggan disebabkan harganya yang mahal.
“Saya kena terangkan kepada pembeli bahawa banyak sayur ni datang dari negeri-negeri luar. Bila berlaku banjir, banyak kawasan terjejas dan pengeluaran terhad sedangkan permintaan tinggi, sebab itu harganya mahal. Ada pembeli yang merungut juga tapi terpaksa kerana sayur-sayuran sangat diperlukan dalam diet harian semua orang,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Antara sayur yang naik mendadak ialah bayam sehingga RM14 sekilogram (kg) berbanding RM6 kg sebelum ini, tomato RM6.50/kg berbanding RM4, kailan dijual RM10/kg berbanding RM8 dan kacang panjang RM10/kg berbanding RM7 sebelum ini.
Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Kak Zah dari Pasar Bukit Besar di sini berkata, ramai pembeli yang terkejut dengan kenaikan mendadak sayur-sayuran.
“Untuk peminat tomyam misalnya, memang akan terasa kerana daun ketumbar naik antara RM40 hingga RM45 sekilo, begitu juga daun sup naik antara RM20 hingga RM25. Saya pun terpaksa mengurangkan kuantiti sayur-sayuran yang dijual kerana risau tidak laku dijual,” katanya.
Sementara itu, seorang pembeli, Nur Ain Hanis Haizi, 37, berkata, dia beralih kepada ulam-ulaman untuk menggantikan sayur buat sementara waktu kerana harga yang naik terlalu tinggi.
“Ulam lebih murah sebab kebanyakannya hanya dijual orang kampung seperti daun selom, pucuk pegaga dan pucuk gajus. Nampaknya, terpaksa lupakan sekejap menu yang banyak sayur-sayuran buat sementara waktu, apabila dah turun semula nanti baru boleh beli macam biasa,” katanya. – UTUSAN