KUALA TERENGGANU: Kebanyakan syarikat pemborong dan peniaga telur terpaksa menolak tempahan daripada pelanggan mereka untuk majlis perkahwinan pada musim cuti persekolahan yang bermula esok di negeri ini.
Mereka tidak dapat menampung permintaan pelanggan tersebut kerana bekalan telur di negeri ini masih berkurangan di pasaran.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, syarikat pemborong dan peniaga mendakwa tidak memperoleh bekalan telur yang mencukupi sejak beberapa bulan lalu.
Pengurus sebuah syarikat pemborong telur di Cabang Tiga di sini, Nursyzanil Adha Ramli berkata, kebiasaannya permintaan bekalan telur meningkat pada musim cuti sekolah, namun bekalan masih terhad.
Menurutnya, pihak syarikat kebiasaannya membuka tempahan untuk majlis perkahwinan dalam masa seminggu atau dua minggu lebih awal bagi memastikan bekalan telur dapat disediakan mencukupi.
“Bagaimanapun pada masa ini, pihak syarikat tidak dapat memberi jaminan pelanggan akan menerima bekalan telur yang ditempah kerana bergantung kepada bekalan yang diterima,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Cuti persekolahan penggal ketiga sesi 2022/2023 di negeri ini bermula pada 9 hingga 31 Disember ini.
Beliau memberitahu, pada minggu lepas, pihaknya mendapat bekalan telur sebanyak dua kali dengan jumlah keseluruhan 6,500 papan.
Katanya, jumlah bekalan telur yang diterima itu tidak mencukupi berbanding permintaan yang tinggi di pasaran.
“Bekalan telur ayam yang dihantar pada minggu lalu telah habis dan bekalan untuk minggu ini pula belum diterima,” jelasnya.
Sementara itu, seorang pemborong telur ayam di sini, Josan Tan pula berkata, syarikatnya mendapat bekalan telur ayam sebanyak 14,000 papan pada minggu ini untuk dihantar ke beberapa kedai runcit dan pasar raya besar di daerah ini dan Marang.
Menurutnya, pihaknya mengharapkan bekalan telur dapat dibekalkan secukupnya bermula pada minggu hadapan.
“Ini kerana, kebiasaannya permintaan telur meningkat pada musim cuti sekolah kerana terdapat banyak majlis perkahwinan,” katanya. – UTUSAN