NIBONG TEBAL: Isu berkaitan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan kalender akademik persekolahan akan diperincikan dalam sidang media khas yang dijadualkan berlangsung minggu depan.
Sehubungan itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek meminta semua pihak bersabar sementara menantikan pengumuman terbabit.
“Seperti yang saya maklumkan, satu sidang media khas akan diadakan minggu depan yang kita akan sentuh isu yang dibangkitkan untuk perincian yang menjadi hala tuju Kementerian Pendidikan (KPM).
“Ibu bapa boleh nantikan isu ini (UPSR, PT3), selain perkara yang berkait rapat dengan pemegang taruh serta konsultasi.
“Saya ambil kira semua pandangan, kritikan dan harapan ibu bapa termasuk semua pemegang taruh dalam isu berkaitan pendidikan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Kenduri Rakyat anjuran Parlimen Nibong Tebal di pekarangan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Jawi, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fadhlina berkata, isu berkaitan kalendar akademik sudah dinyatakan secara rasional menerusi kenyataan KPM hari ini.
“Cuma nanti saya akan perincikan mengapa ia jadi begitu kerana prosesnya agak panjang untuk diceritakan, jadi saya akan maklum juga semasa sidang media khas nanti.
“Saya mohon semua bersabar dan akan cuba selesaikan satu persatu mengikut proses,” katanya.
Terdahulu, kebanyakan ibu bapa menerusi hantaran di media sosial meminta Menteri Pendidikan baharu dapat mempertimbangkan semula cadangan untuk mengembalikan peperiksaan UPSR dan PT3.
Ia susulan kebimbangan ibu bapa akan nasib anak-anak mereka yang menjadi seolah-olah generasi hilang (lost generation) selepas pasca Covid-19. – UTUSAN