PUTRAJAYA: Malaysia melahirkan kebimbangan terhadap langkah Kesatuan Eropah (EU) mewartakan peraturan baharu mengenai produk yang bebas elemen penebangan hutan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebagai negara pengeluar komoditi utama, tindakan blok tersebut boleh memudaratkan perdagangan bebas dan adil.
“Beberapa aspek untuk proses penilaian risiko peraturan itu juga bercanggah dengan isu komitmen penebangan hutan global oleh negara bukan EU,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi itu mengulas tindakan sebelah pihak oleh pihak blok berkenaan awal bulan ini menerusi ketetapan Parlimen dan Majlis EU.
Malaysia baru sahaja memeterai buat julung Perjanjian Perkongsian Kerjasama (PCA) ketika Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-EU di Brussels, Belgium pada minggu lepas.
Mengulas lanjut, Fadillah berkata, perjanjian digubal pada 6 Disember itu menyasarkan pelbagai komoditi tropika termasuklah kelapa sawit, koko, getah dan kayu balak keras.
Namun Malaysia ujarnya menyokong keperluan pendekatan seimbang sejajar Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) disasarkan Pertubuhan Bangsa Bersatu menjelang 2030.
“Kita sudah lama memulakan banyak inisiatif termasuk akreditasi Minyak Sawit Mampan Malaysia, Skim Pensijilan Kayu Malaysia dan kod Pengurusan Hutan Mampan,” katanya.
Semuanya itu jelasnya, bertujuan memudahkan akses kepada pasaran tunggal EU yang dianggotai sejumlah 27 negara di benua Eropah bahawa Malaysia memang amat serius.
Malangnya kata Fadillah, peraturan baharu kali ini bakal memberi beban kepada Malaysia terutama keperluan kebolehkesanan tambahan dan data kepada pelanggan akhir di EU.
Negara pengeksport akan diklasifikasikan sebagai risiko tinggi, risiko standard atau risiko rendah manakala sekatan ketat atau sebaliknya konon berdasarkan pengelasan tersebut.
Dalam nada kesal, beliau menyifatkan peraturan baharu itu tindakan tidak wajar EU bagi menyekat akses pasaran adil dan melindungi industri minyak bijiran oleh anggota blok ini.
“Mereka sebenarnya kurang cekap untuk bersaing dari segi kos dengan minyak sawit dan peraturan ini boleh menjejaskan pekebun kecil serta membawa kesan rantaian,” katanya.
Fadillah membayangkan tindakan EU itu bakal menyaksikan kenaikan harga makanan global serta mengurangkan pengeluaran bekalan ketika kadar inflasi sejagat melonjak tinggi.
Justifikasi pihak EU memperkenalkan peraturan aneh itu ujarnya, hanyalah berasaskan alasan tidak kukuh dan bukti saintifik lemah walhal tanaman kelapa sawit adalah lestari alam.
Standard kemampanan komoditi Malaysia yang komprehensif turut membuktikan komitmen negara ini menyediakan produk bebas unsur penebangan hutan kepada komuniti dunia.
Menurut Fadillah, langkah EU itu akan memburukkan lagi krisis bekalan makanan sejagat, melonjakkan kos produk dan tenaga serta membantutkan usaha pembasmian kemiskinan.
“EU perlu menyertai sesi libat urus dengan negara pengeluar dan sebagai rakan penting pelaburan, kita sedia memanfaatkan PCA demi perdagangan adil serta bebas,” katanya.
Bahkan beliau dalam nada optimis menambah, Malaysia menghargai EU serta tiada halangan meneruskan semula rundingan perjanjian dagangan bebas antara kedua-dua pihak. – UTUSAN