PETALING JAYA: Selepas ditubuhkan pada 1949, Tenaga Nasional Berhad (TNB) atau dahulunya dikenali sebagai Lembaga Letrik Pusat (CEB) terus menjadi pemangkin utama pembangunan rakyat dan negara.
Mengharungi beberapa transformasi utama, termasuk penjenamaan semulanya sebagai Lembaga Letrik Negara (LLN) pada 1965, disusuli penswastaan pada 1990 dan diperbadankan pada 1992 menggambarkan keperluan agensi itu lebih menyeluruh sebagai pemain industri bekalan elektrik.
Sehingga hari ini, dengan kira-kira 10 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia, TNB dibantu lebih 35,000 kakitangan mampu mengekalkan kadar tarif antara yang terendah di rantau ini dan dunia walaupun
berdepan dengan kenaikan kos operasi dan bahan api.
Malah kebolehupayaan dan penyaluran bekalan elektrik berterusan berdasarkan standard antarabangsa menyamai negara maju lain di dunia untuk sentiasa memastikan bekalan elektrik tidak terganggu.
Tanggungjawab TNB melebihi daripada hanya menjadi pembekal elektrik, tetapi turut berperanan menjadi pembayar dividen daripada keuntungan yang memberi faedah kepada keseluruhan rakyat negara ini.
Ini kerana kira-kira 24 peratus atau pegangan saham dalam TNB dimiliki oleh dana milik kerajaan Khazanah Nasional Bhd; Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pula memiliki kira-kira 14 peratus.
Skim Amanah Saham Bumiputera milik Permodalan Nasional Berhad (PNB) mempunyai sembilan peratus dan pemegang saham utama lain iaitu Kumpulan Wang Persaraan, PNB, Skim Amanah Saham Malaysia 2,
Amanah Saham Malaysia, dan Pertumbuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Keseluruhan dividen yang dibayar tahun lalu adalah kirakira RM2.28 bilion, maka semua pulangan dividen ini secara tidak langsung kembali kepada pelbagai pemegang unit saham amanah dan ahli KWSP menerusi dividen.
Kini, selepas 73 tahun, TNB terus mengorak langkah lebih jauh dalam memberi manfaat yang memfokuskan memfokuskan prinsip kelestarian sekali gus membuktikan komitmennya dalam amalan alam sekitar,sosial dan tadbir urus (ESG).
Dalam meningkatkan strategi korporatnya, TNB juga melancarkan Sustainability Pathway 2050 (SP2050) pada tahun lepas yang menggariskan lagi aspirasi berani syarikat itu untuk mencapai pelepasan karbon sifar
bersih menjelang 2050. Aspek terpenting dalam agenda kelestarian agensi itu adalah untuk menyokong usaha global untuk mengurangkan perubahan iklim.- UTUSAN