Perak guna khidmat influencer bantu usahawan mikro - Utusan Malaysia

Perak guna khidmat influencer bantu usahawan mikro

SALBIAH Mohamed (tengah) bersama Bibi Safura Ghulam Hyder (kanan) menyampaikan sumbangan ayam segar pada program pemberian sumbangan dan pelancaran kumpulan kebajikan Sayang Safura di Ipoh hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri akan menggunakan khidmat pempengaruh atau influencer untuk melihat potensi dan membantu usahawan mikro menyelesaikan masalah yang mereka hadapi.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, kerajaan negeri akan mengadakan program ‘Usha Usahawan’ bagi membantu usahawan mikro yang memerlukan.

“Usaha ini bagi membantu usahawan mikro yang memerlukan modal permulaan kerana kebanyakan mereka terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Mereka amat mengharapkan bantuan terutamanya daripada kerajaan negeri untuk kembali mula berniaga,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pemberian Sumbangan dan Pelancaran Kumpulan Kebajikan kedai emas, Sayang Safura di sini hari ini.

Menurut Salbiah, pihaknya akan berbincang dengan peniaga dan beberapa pempengaruh TikTok dan YouTube untuk melihat potensi usahawan-usahawan serta masalah yang dihadapi melalui program ‘Usha Usahawan’.

“Dengan melakukan pendekatan secara turun padang, kita akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk melihat dan mengenalpasti masalah peniaga mikro yang saya rasa waktu inilah mereka mengharapkan bantuan daripada kerajaan negeri,” katanya.

Sementara itu, dalam program tersebut, Kedai Emas Safura di Medan Gopeng di sini melancarkan Majlis Pemberian Sumbangan dan Pelancaran Kumpulan Kebajikan Sayang Safura bagi berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan.

Pengasasnya, Bibi Safura Ghulam Hyder berkata, sebanyak 600 pek ayam segar diberikan kepada penduduk di sekitar kawasan Sungai Rokam di sini.

Menurut beliau, inisiatif itu juga adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial Kedai Emas Safura untuk membantu masyarakat setempat yang perlukan perhatian.

“Setiap tahun kami menjalankan program kebajikan seperti ini untuk membantu golongan yang memerlukan dan kami bercadang setiap bulan kami akan pergi ke rumah orang-orang tua untuk bersama golongan itu,” katanya.

Katanya, tabung sumbangan yang dilancarkan hari ini bukan sahaja dapat meringankan beban masyarakat setempat tetapi dapat menambah dana untuk membantu lebih ramai orang.

“Selama ini mungkin kita dapat membantu dua ke tiga keluarga sahaja tetapi dengan sumbangan yang diamanahkan melalui tabung ini, kita dapat membantu lebih ramai lagi golongan yang memerlukan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya